Cabaran Kewangan Bukan Alasan Terlibat Rasuah- Raja Muda Perlis

KANGAR, 16 Mac (Bernama) -- Cabaran dihadapi sepanjang meneruskan kehidupan seiring perkembangan dunia masa kini termasuk ujian kewangan tidak wajar dijadikan alasan untuk seseorang mengabaikan aspek integriti serta tidak memerangi rasuah.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah meskipun peruntukan kewangan semakin berkurangan dan setiap agensi dituntut meminimumkan perbelanjaan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan perlu menjadi panduan dalam melaksanakan kerja secara beretika.

"Kebelakangan ini dilihat terdapat beberapa kes tangkapan dan pendakwaan terhadap penjawat awam dilaporkan secara berleluasa di media-media tempatan yang secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti dan imej sesebuah organisasi serta penjawat awam secara keseluruhannya.
"Bak kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Perkara dilaporkan itu perlu menjadi peringatan kepada semua pekerja bahawa isu-isu seperti rasuah dan ketidakcekapan penyampaian Perkhidmatan Awam harus diberikan perhatian sewajarnya," titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Seri Gemilang universiti berkenaan, di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Sementara itu, Zul Azhar berkata pencapaian UniMAP selama lebih 10 tahun telah meletakkan universiti itu di tahap yang amat membanggakan di dunia.

"Terkini, berdasarkan QS World University Subject Ranking 2017 telah mengeluarkan beberapa statistik yang amat mengujakan di mana dalam subjek Teknologi dan Kejuruteraan, UniMAP berada di tahap 500 terbaik dunia.

"Selain itu, dalam subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pembuatan, kita berada dalam kumpulan 300 terbaik dunia dan Kejuruteraan subjek Elektrik dan Elektronik pula, UniMAP dalam lingkungan 350 terbaik dunia," katanya dalam ucapan aluan pada majlis tersebut.

Secara keseluruhan, katanya ia menunjukkan program-program ditawarkan UniMAP bertaraf antarabangsa selain universiti komited meningkatkan enrolmen pelajar antarabangsa serta meningkatkan hubungan akademik dengan universiti luar negara.

"Sebagai inisiatif menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi, 387 pelajar antarabangsa pasca siswazah diterima masuk, menjadikan bilangan keseluruhannya 1,116 berbanding sasaran 950 orang sahaja. Namun, enrolmen ini dijangka ditingkatkan lagi bagi 2017," katanya.

Seramai 140 kakitangan UniMAP daripada pelbagai jabatan dan sektor perkhidmatan dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang hari ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam perkhidmatan dan meningkatkan imej universiti, dengan menerima sijil penghargaan dan kepingan emas.