Firdaus rangkul Juara Orang Kuat Sabah 2017

Kangar, 28 Feb – Kakitangan di Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), Muhammad Firdaus Bin Jamen, 23, mengharumkan nama UniMAP apabila berjaya merangkul gelaran Juara Cabaran Orang Kuat Sabah Edisi Kelima 2017 (Sabah Strongest Man).

Dalam pertandingan yang disertai oleh wakil peserta dari seluruh negara itu, Mohammad Firdaus, berjaya mencatatkan catatan terbaik bagi kesemua lima acarayang disertainya sekaligus menumpaskan Zarol Alfiyan (Selangor) di tempat kedua dan Andy Gerald dari Penampang, Sabah ditempat ketiga.

“Saya tidak menyangka akan bergelar juara menerusi acara tersebut kerana persaingan yang sengit. Pada mulanya, saya hanya ingin mencabar ‘personal best’ yang dicatatkan dalam edisi tahun lalu.

“Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya, dan ini merupakan kejuaraan kedua saya menerusi acara ini selepas turut bergelar juara Cabaran Orang Kuat Tenom pada April tahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Pertandingan Orang Kuat Sabah yang dianjurkan oleh Casero Sabah itu, merupakan satu pertandingan dimana setiap peserta dikehendaki melengkapkan satu siri cabaran yang terdiri dari lima acara sebelum layak digelar Orang Kuat Sabah.

Mohammad Firdaus telah berjaya mencapai ‘personal best’ dalam kelima- lima acara iaitu ‘Tyre Flip’, ‘Circus Dumbell’, ‘Last Man Standing Dead Lift’, menarik trak dan bas, serta ‘Loading Race’.

Hadiah berupa wang tunai dan piala disampaikan oleh Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.