Atlet UniMAP gondol 13 pingat di Kejohanan Karate-do terbuka 2017

Kangar, 9 Mac – 12 atlet Karate Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) telah berjaya membawa pulang tiga pingat emas, empat pingat perak dan enam pingat gangsa pada Pertandingan Kejohanan Karate-Do Terbuka 2017 bertempat di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kuala Ketil. 

Bagi acara kumite lelaki dan wanita, Kuhan Vickneswaran, Mohamad Aizzat Iskandar Shaharin dan Wan Nuraina Amira Wan Arizi berjaya mendapat pingat emas.

Pingat perak pula menjadi milik Aravinthran Ravichanthar dan Muhammad Azrey Affiq Roslan. Manakala Mohd Harry Johari, Aravendran Allageswaran dan Danish Afdal Hilmi berjaya mendapat pingat gangsa dalam kejohanan ini.

Sementara itu bagi acara kata individu lelaki dan wanita, Mohamad Aizzat Iskandar Shaharin berjaya mendapat pingat perak, manakala Izzati Nur Nazzihah Jakaria dan Moh Jin Hao pula masing-masing meraih gangsa.

Selain itu, atlet UniMAP juga berjaya memperolehi pingat perak bagi acara kata berpasukan wanita dan pingat gangsa bagi acara kumite berpasukan lelaki.

Menurut Jurulatih, Ahmad Tajudin Baharin, beliau berpuas hati dengan prestasi pasukan karate-do UniMAP walaupun masih baru tetapi mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

“Walaupun baru setahun para atlet aktif dalam bidang sukan ini, namun atas usaha gigih mereka berjaya menyumbangkan pingat kepada universiti. Diharapkan kemenangan ini menjadi cabaran dan persediaan kepada mereka sebelum menyertai Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia 2017 (MASUM) yang dijadualkan pada Julai kelak,” katanya ketika ditemui disini hari ini.

Kejohanan ini disertai hampir 190 orang peserta yang terdiri daripada orang awam termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) dan KUIN.

 

*Kata – Kata dalam sukan karate membawa maksud satu persembahan bunga / patern. Persembahan ini juga dinilai dan dijadikan sebagai acara

*Kumite – Kumite dalam terma sukan karate membawa maksud perlawanan secara bebas tetapi masih mengikut undang-undang dan keselamatan yang ditetapkan oleh Federasi Karate Dunia