UniMAP Bakal Tuan Rumah SMART Kor Suksis Universiti Awam 2017

UniMAP Bakal Tuan Rumah SMART Kor Suksis Universiti Awam 2017

KANGAR, 23 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi tuan rumah Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik (SMART) Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari ini yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari 19 Universiti Awam (UA) di seluruh negara.

Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintenden Kor SUKSIS, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, bersempena persidangan tersebut juga, satu projek khidmat komuniti UA yang membabitkan lima aktiviti akan dijalankan secara serentak pada 26 Februari nanti.

“Program yang dinamakan “Projek Khidmat Komuniti – SUKSIS Berbakti” ini merupakan salah satu pengisian aktiviti yang telah disenaraikan dalam SMART edisi pertama yang dihoskan oleh UniMAP.

“Dalam projek ini kita telah menyenaraikan lima aktiviti utama yang dijalankan secara serentak iaitu menceriakan jejambat di Lebuhraya Changlun – Kuala Perlis, menaiktaraf dan memperbaiki rumah keluarga daif, program motivasi sekolah, bantuan ihsan ke hospital dan pemeriksaan kesihatan percuma di kampung-kampung terpilih,” katanya.

Ujar beliau lagi, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail merangkap Canselor UniMAP berkenan hadir merasmikan kelima-lima projek tersebut.

Ujar beliau, UniMAP amat berbangga apabila penganjuran edisi pertama ini berjaya menghimpunkan lebih 500 anggota Kor SUKSIS termasuk 200 pegawai-pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

 “Projek-projek seperti ini mungkin pertama kali diadakan dengan tujuan memberi peluang kepada sukarelawan SUKSIS Malaysia bukan saja untuk menggabungjalinkan idea dan kemahiran dan menterjemahkkanya kepada komuniti melalui kempen berbentuk mural ini tetapi juga dalam masa yang sama membantu masyarakat selaras dengan tanggungjawab anggota PDRM,” katanya lagi.

Projek keceriaan ini merupakan projek usahasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis dan juga IM4U Malaysia.

Bersempena program SMART itu juga akan diadakan Majlis Majlis Perasmian Karnival Sedekad SUKSIS UniMAP yang akan disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.