Badan Beruniform Bantu Pelajar Hadapi Sektor Pekerjaan

Pauh Putra, 3 Disember 2016 – Pelajar universiti digalakkan bergiat aktif dalam badan beruniform dan aktiviti ko-kurikulum kerana ia sangat penting bagi sektor pekerjaan di masa akan datang.

Pesanan itu diberikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail ketika berucap merasmikan The Festival of Martial Arts anjuran Pusat Ko-kurikulum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2016 dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Perlis di Dewan Ilmu, di sini, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata walaupun pada masa kini penyertaan dalam aktiviti ko-kurikulum adalah syarat wajib untuk bergraduasi tidak seperti zaman universiti dahulu namun pelajar yang memanfaatkannya akan memperolehi pengalaman yang berguna di masa hadapan.

“Jangan pernah rasa menyesal atau terpaksa menyertai program seperti ini dengan menjadikan penglibatan sebagai ilmu kerana melalui penganjuran program, ia juga melatih anda untuk menjadi pemimpin.

“Selain itu, pelajar juga dapat memperolehi pengalaman mengendalikan sesuatu acara atau program serta dapat mempelajari ilmu mempertahankan diri terutama ketika jenayah yang kian berleluasa pada masa kini,” katanya.

Turut hadir ke majlis perasmian itu ialah Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli, Timbalan Pengarah Pusat Sukan UniMAP Nazmizan Muhammad, wakil Majlis Sukan Negeri Perlis, Noor Zaidi Hamad serta jurulatih-jurulatih seni mempertahankan diri yang terlibat.

Sementara itu, Dr Zaliman berkata bagi semester tahun satu 2016/2017,  seramai 1320 pelajar mendaftar kursus kategori seni mempertahankan diri manakala  805 pelajar mendaftar teras sukan seperti memanah, tenis, olahraga, ragbi dan sebagainya.

Katanya, lebih 800 pelajar menyertai festival julung kali diadakan itu dengan 40 kategori pertandingan melibatkan silat olahraga, taekwon-do dan karate-do.

“Ini merupakan satu kejayaan bagi UniMAP berjaya mengumpulkan ramai peserta dari tiga seni mempertahankan diri ini kerana ia adalah pertama kali dianjurkan.

“Ia sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek-aspek penganjuran sesuatu kejohanan selain dapat mengeratkan silaturahim sesama mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis itu.