Atlit IKOM Rampas Gelaran Raja Pecut Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP

Arau, 28 November – Atlit dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Mohd. Fauzi Md. Amin muncul raja pecut Kejohanan Olahraga Tertutup Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kali Ke-12 apabila meraih pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter.

Mohd. Fauzi, pelajar tahun tiga Komunikasi Media Baharu itu turut mencatatkan rekod baharu bagi kedua-dua acara tersebut sekaligus membolehkan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kejohanan.

Olahragawati kejohanan pula menjadi milik Nurathirah Abd. Fathah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik selepas meraih tiga pingat emas menerusi acara 100 dan 200 meter serta lompat jauh selain turut mencatatkan rekod kejohanan bagi acara 200 meter.

Mohd. Fauzi berkata, kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang cukup bermakna memandangkan beliau kini berada di tahun akhir pengajian.

“Sepanjang tiga tahun di UniMAP, saya tidak pernah berpeluan meraih pingat emas kedua-dua acara ini dan terpaksa akur dengan kehebatan rakan sepasukan dalam kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang mewakili Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

“Namun Alhamdulillah, tahun ini rezeki berpihak kepada saya apabila berjaya meraih dua pingat emas sekaligus mencatatkan rekod baharu kejohanan. Lebih manis lagi, apabila dinobatkan selaku olahragawan kejohanan.

“Insya Allah, saya akan menggunakan tempoh masa terakhir pengajian untuk menyumbangkan sesuatu buat kontinjen UniMAP pada Kejohanan Olahraga MASUM yang akan berlangsung di UniMAP April, depan,” ujarnya.

Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-12 disertai oleh 12 pasukan dari pusat pengajian di UniMAP membabitkan lebih 6,000 atlit keseluruhannya. Bagi edisi kali ini, PPK Sistem Elektrik terus mengekalkan kejuaraan untuk kali keempat berturut-turut selepas meraih 8 pingat emas, 6 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

Tempat kedua menjadi milik PPK Komputer dan Perhubungan dengan 3 pingat emas, 5 pingat perak dan 5 pingat gangsa manakala tempat ketiga dimenangi oleh FTK dengan 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 3 pingat gangsa.

Majlis penutup disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengurusan Akademik yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Hj. Suhizaz Sudin berkata, kejohanan dianjurkan khusus untuk memilih atlit-atlit yang bakal mewakili UniMAP pada kejohanan olahraga MASUM tahun hadapan.

“Sebagai sebuah universiti yang berfokuskan kejuruteraan, persiapan rapi dan latihan berterusan amat diperlukan bagi membolehkan atlit UniMAP mampu memberikan saingan pada kejohanan MASUM yang sebahagian besarnya disertai oleh atlit-atlit kebangsaan.

“Justeru kejohanan peringkat dalaman ini amat penting bagi kami memilih atlit-atlit yang berbakat untuk membawa cabaran UniMAP di MASUM kelak,” ujarnya.