Artikel

IPT Perlis Bergabung Laksanakan NBOS

Arau, 21 Jun – Bagi menyahut seruan kerajaan yang menekankan konsep berimpak tinggi dengan pelaksanaan cepat pada kos yang rendah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama lima institusi pendidikan tinggi (IPT) Perlis telah mengambil inisiatif dengan bergabung menganjurkan Majlis Ihtifal Ihya’ Ramadan yang diadakan malam tadi.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, ini merupakan julung kali enam IPT di Perlis bergabung bagi melaksanakan majlis tersebut.

”Idea penggabungan enam IPT di majlis ini merupakan cetusan idea Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

”InsyaAllah kita akan bekerjasama sekali lagi untuk program sambutan Aidilfitri, serta program-program lain, khususnya yang berorientasikan akademik dan penyelidikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan bagi mewakili kesemua IPT lain di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini.

Enam IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis, Kolej Matrikulasi Perlis,  Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan UniMAP sendiri.

Dato’ Dr. Zul Azhar juga menyambut baik kerjasama sebegini yang dilihat membina dan mengeratkan ukhuwah sesama warga IPT dan membuka peluang untuk kerjasama lain pada masa akan datang.

“Penggabungan ini menepati hasrat NBOS, iaitu Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang digalakkan Kerajaan seiring dengan konsep kesepunyaan dan keserakanan (atau commonalities and collegiality) yang disarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Malah konsep ini merupakan kaedah yang kreatif dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos yang munasabah,” katanya.

Seiring itu, turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan penglibatan enam IPT tersebut.

“Sebagai contoh, kerjasama antara UniMAP dengan PTSS dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, projek tahun akhir, serta lawatan kemudahan makmal dan fasiliti sudahpun dirangka dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya lagi, UniMAP juga turut bekerjasama dengan sekolah-sekolah melalui sumbangan kepakaran dalam membudayakan minat pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi dan Matematik dengan menganjurkan bengkel robotik, bengkel robotik lego, klinik go-kart, pertandingan inovasi dan penyelidikan, dan banyak lagi.

“Komitmen dan kerjasama sebegini akan terus diperluaskan di masa akan datang, Insya Allah,” katanya.

Pada majlis itu juga turut diraikan 30 pelajar asnaf fakir dan asnaf yatim dari enam IPT tersebut.

Selain jamuan mereka juga turut menerima sumbangan berupa duit raya yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Tengku Rashid.

Tidak ketinggalan majlis juga diserikan dengan berangkat DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut berangkat pada majlis itu adalah DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran seramai 700 tetamu termasuklah keutamaan negeri, ketua jabatan persekutuan dan negeri, serta wakil warga kerja dan mahasiswa IPT.  

AL – ANDALUS Kekalkan Kejuaraan Festival Nasyid Antara Jabatan UniMAP

Arau, 21 Jun – Kumpulan Al – Andalus dari Fakulti Teknologi Maklumat (FTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada Festival Nasyid Antara Jabatan UniMAP yang diadakan baharu-baharu ini.

Mereka berjaya mengenepikan persaing terdekat kumpulan Ar – Raeez dari Jabatan Canselori untuk kekal ditempat pertama dan seterusnya membawa pulang Piala Pusingan Naib Canselor, wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

Malah kumpulan Al-Andalus turut dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori pakaian terbaik dan membawa pulang wang tunai RM200.

Ar – Raeez yang sekadar berpuas hati ditempat kedua membawa pulang wang tunai RM700 beserta sijil penyertaan.

Manakala tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Ar - Rijal dari Jabatan Bendahari yang turut dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori persembahan terbaik membawa pulang hadiah, masing-masing wang tunai RM500 dan RM200 serta sijil penyertaan.

Ketua Juri, Mohd. Fitri Alawee Mohamad dalam ulasannya berkata, secara keseluruhannya kualiti persembahan peserta pada tahun ini adalah yang terbaik.

Bagaimanapun, ujar beliau, ada kumpulan yang melakukan kesilapan dalam pemilihan lagu yang tidak membantu dari segi markah kerana tidak bersesuaian dengan nada penyanyi solo atau lagu tidak bersesuaian dalam pertandingan.

“Untuk mendapat markah yang tinggi, lagu yang dipilih haruslah mencabar kemampuan suara, namun sekiranya lagu yang dipilih itu tidak mencabar tetapi dengan modulasi dan susunan muzik yang baharu akan memberi kelebihan kepada markah yang tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, “Saya juga ingin mencadangkan kepada Naib Canselor untuk menghantar kumpulan Nasyid UniMAP ke Pertandingan Nasyid peringkat Kebangsaan sebagai wakil Perlis dan buktikan UniMAP berada diperingkat tertinggi di Malaysia.

“Hal ini kerana, kualiti kumpulan nasyid pada hari ini adalah kualiti juara di peringkat kebangsaan dan kesimpulannya, pemenang-pemenang pada pertandingan ini adalah antara yang terbaik sepanjang festival yang pernah diadakan sejak dari dahulu lagi”.

Bagi Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal yang yakin bahawa Festival  Nasyid yang dianjurkan saban tahun ini mampu dijadikan wadah untuk melatih staf-staf UniMAP.

“Melatih mereka demi menjamin kerjasama berpasukan, kreatif, berharmonis dan berkeyakinan ketika berhadapan dengan khalayak selain merapatkan lagi hubungan antara Jabatan/PTj di UniMAP,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Festival Nasyid Antara Jabatan, di sini.

Festival tersebut yang merupakan anjuran bersama Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari UniMAP disertai oleh 14 jabatan dan diadakan bersempena Ihya’ Ramadhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2017.

 

Program Latihan Kemahiran Industri Ecrl Negaraku

Kangar, 15 Jun – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama 13 lagi institusi pendidikan tinggi (IPT) telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya semalam.

UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan MoU ini ditandatangani bagi pelaksanaan Program latihan Kemahiran Industri ECRL Negaraku.

Menurut Dr. Zul Azhar, UniMAP akan menyediakan keperluan dari segi pelajar yang menyertai Latihan Industri, tenaga pengajar dan juga jumlah penyelidik dalam bidang berkaitan.

“UniMAP menyokong penuh pelaksanaan program ini dan sebagai tanda sokongan kita akan menghantar pelajar mengikut permintaan daripada syarikat yang terlibat.

“Sebanyak 3,600 pelajar diperlukan untuk keseluruhan program merangkumi pelajar bagi latihan industri, pelajar bakal bergraduat dan juga pelajar yang masih lagi mencari pekerjaan dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal bermula pada tahun 2018 nanti,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga bidang tersebut merupakan kekuatan UniMAP, oleh itu beliau yakin pihaknya  mampu menyalurkan sumber manusia yang cukup untuk memenuhi permintaan MRL.

“Lebih bermakna kerana pelajar ini akan dilatih dan diserap oleh syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat untuk terus berkhidmat dengan mereka walaupun selepas tamatnya projek ini yang dijangka pada tahun 2022,” katanya.

Untuk tempoh tiga hingga enam bulan, pelajar yang berkelulusan sijil, diploma dan ijazah ini akan bekerja untuk mempersiapkan projek pembinaan landasan sejauh lebih kurang 600km bermula dari Gombak, Selangor hingga ke Wakaf Bharu, Kelantan.

UniMAP diberi penghormatan Sertai KL2017

Kangar, 19 Jun- Bersempena Sukan Sea ke-29 yang akan berlansung Ogos ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi penghormatan untuk turut serta dalam Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) peringkat negeri Perlis baru-baru ini.

Larian adalah secara bergilir-gilir mengikut jabatan dan organisasi itu bermula di pekarangan Institut Kemahiran MARA Beseri, Padang Besar dan berakhir di Masjid Al Barokah, Jelempok.

Wakil UniMAP yang diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Pengarah Pusat Sukan, Suhizaz Sudin diberikan giliran untuk berlari di peringkat Parlimen Kangar.

Peringkat Parlimen Kangar bermula dari perkarangan bangunan The Store melalui jalan Kangar-Arau dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin.

Manakala pasukan UniMAP yang menerima obor di checkpoint berhadapan bangunan Pusat Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) dan membawa obor tersebut ke checkpoint seterusnya.

Lebih 50 pelajar dan staf turut sama menyertai pasukan UniMAP dalam larian tersebut.

Selain itu, tiga ikon sukan UniMAP, Mohd Faiz Musa, Nazmizan Muhammad dan Idris Zakaria turut diberi penghormatan mengetuai larian obor bagi peringkat Parlimen Arau bermula dari Kampus UniMAP Kubang Gajah.

Perlis adalah negeri ketujuh yang dilalui Obor Sukan Sea ke-29 selepas Sarawak yang bermula pada 8 Jun lalu.

Seramai 90 orang pembawa obor dan 400 pelari pengiring terdiri daripada wakil jabatan kerajaan, orang kurang upaya dan atlet negeri Perlis menyertai larian itu mengelilingi beberapa kawasan di Padang Besar, Kangar dan Arau sebelum diserahkan kepada Ahli Perlimen Datuk Othman Aziz di Jerlun, Kedah.

Mahasiswa Perlu Berjinak-Jinak Dengan Keusahawanan

Arau, 24 Mei – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal menggesa mahasiswa untuk berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan walaupun ketika masih menuntut di menara gading.

“Mahasiswa adalah tunjang untuk menggerakkan bidang keusahawanan yang  merupakan satu sektor yang membantu memajukan Negara suatu hari nanti.

“Malah, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah menetapkan sekurang-kurangnya lima peratus mahasiswa yang masih dalam sistem pengajian perlu bergiat dalam bidang keusahawanan.

“Ini adalah kearah bagi melahirkan usahawan dan teknousahawan apabila mereka bergraduat nanti,” katanya ketika merasmikan Women Entrepreneurship Forum and Exhibitions 2017 di Dewan Kecemerlangan UniMAP baharu-baharu ini.

Beliau berharap agar minat sebagai usahawan dalam diri mahasiswa akan berterusan dan bakal memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara kelak.

Hadir sebagai panel jemputan bagi forum selama satu hari itu adalah  Pengasas De Riche Lurve Sdn Bhd, Syarifah Ngadiron; Ketua Pegawai Eksekutif Modvier, Siti Sarah Shah Nor; Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Dato’ Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato’ Seri Vida; dan Ikon Usahawan Muslimah, Ketua Pegawai Eksekutif Sam Beautilogy Lab Sdn. Bhd. dan Profit Magnet Sdn. Bhd., Dato’ Sharifah Shareen Al-Mashoor.