Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan

UR6524002 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer dengan Kepujian

Program ini bertujuan menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap jurutera yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi di dalam bidang kejuruteraan dan sains polimer, sifat-sifat polimer, pengujian, rekabentuk produk/proses, pemilihan bahan dan pemprosesan polimer. Pertumbuhan pesat industri berkaitan bahan polimer seperti industri plastik, lateks, elektronik, automotif, aeroangkasa, bio-material dan lain-lain industri pembuatan berkaitan bahan polimer di negara kita merupakan pendorong utama kepada program ini. Selain itu, perkembangan pesat dalam bidang komposit berkaitan bahan polimer juga memerlukan sokongan dari jurutera polimer yang berkemahiran tinggi bagimengaplikasikan pengetahuan dan sumber bagi menyumbang kepada penyelesaian pelbagai permasalahan berkaitan kejuruteraan polimer.

Bidang kejuruteraan polimer adalah berkaitan dengan struktur dan sifat bahan-bahan polimer yang mempunyai aplikasi-aplikasi kejuruteraan. Kurikulum kejuruteraan polimer menekankan pemahaman pelajar dalam pengetahuan asas tentang sifat-sifat bahan polimer seperti termoplastik, elastomer, lateks dan termoset serta kaedah pemprosesannya kerana bahan-bahan ini merupakan keperluan di dalam hampir setiap industri. Sifat-sifat polimer merangkumi aspek berkaitan bahan polimer termasuk struktur, pengujian dan pencirian polimer. Manakala pemprosesan polimer merangkumi asas pengetahuan dan teknik di dalam pemprosesan termoplastik, termoset dan getah, sifat reologi, kaedah pemprosesan, penyelesaian kepada masalah pemprosesan, serta kaitan antara parameter pemprosesan dan kualiti hasilan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

• Jurutera Pemprosesan Plastik
• Jurutera Jaminan/Kawalan Mutu
• Jurutera Automotif
• Jurutera Rekabentuk
• Ahli Akademik
• Jurutera/ Perunding Analisis Kegagalan Bahan
• Jurutera Komposit
• Jurutera Pemprosesan Bahan
• Jurutera Pembangunan Produk
• Jurutera Pembungkusan Elektronik
• Pegawai Penyelidik