Bidang Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Metalurgi dan Kejuruteraan Polimer adalah berkaitan dengan struktur dan sifat bahan-bahan yang mempunyai aplikasi-aplikasi kejuruteraan. Jurutera Bahan, Jurutera Metalurgi dan Jurutera Polimer bertanggungjawab merekacipta, menghasilkan, memeriksa dan menguji bahan seperti aloi logam kejuruteraan, semikonduktor, superkonduktor, seramik, polimer, plastik dan komposit. Ketiga-tiga program ini menitikberatkan kaedah ‘lab-intensive’ dalam semua kursus yang ditawarkan.
Selaras dengan keperluan perindustrian Negara dan Wawasan 2020, keperluan yang tinggi bagi tenaga professional dalam Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Metalurgi dan Kejuruteraan Polimer serta tenaga separa profesional dalam Kejuruteraan Metalurgi adalah diperlukan dalam pelbagai industri yang menggunakan teknologi pembuatan dan pengeluaran termaju. Oleh yang demikian, program ini bertujuan melahirkan tenaga manusia di peringkat ikhtisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Metalurgi dan Kejuruteraan Polimer.
