Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik

Pengenalan

Pusat Pengajian Sistem Elektrik menawarkan tiga program iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektrik, Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Industri dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Sistem Tenaga. Semua program yang dijalankan di Pusat Pengajian Sistem Elektrik ini menitikberatkan kepada aspek merekabentuk mesin elektrik, peralatan sistem elektrik, peralatan elektronik kuasa dan pengurusan tenaga untuk kegunaan industri.
 
Program ini bertujuan melahirkan tenaga kerja di peringkat ikhtisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan sistem elektrik dan elektronik industri. Pelajar akan dilatih untuk menjadi Jurutera Elektrik/Elektronik yang berkemampuan menjalankan tugas dalam bidang merekabentuk, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penyelenggaraan, jualan, perundingan, pendidikan dan latihan. Para graduan akan berkemampuan menjalankan tugas-tugas pengurusan yang memerlukan kebolehan membuat pertimbangan yang teliti dan tepat.
 
Pusat pengajian ini berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan industri di kawasan utara khasnya dan kawasan perindustrian lain di Malaysia amnya. Objektif ini dapat dicapai melalui program-program pemindahan teknologi seperti pertukaran staf, latihan dan konsultansi serta perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan dengan kejuruteraan elektrik. Pusat pengajian ini juga bertindak sebagai pusat yang menyalurkan hasil penyelidikan, produk inovatif dan khidmat kepakaran dalam bidang kejuruteraan elektrik.

 

Misi

Menjana modal insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara dalam bidang kejuruteraan elektrik

 

Visi

Institusi akademik dan penyelidikan dalam kejuruteraan elektrik yang berdaya saing di persada antarabangsa

 

Objektif Program

Semua program akademik di UniMAP mendukung objektif-objektif berikut:

  • Mengeluarkan jurutera yang kompeten dalam aspek teori dan juga praktikal agar dapat melaksanakan tugas-tugas kejuruteraan yang berkaitan seperti penyelidikan & pembangunan, rekabentuk, pengeluaran, pembinaan, penyelenggaraan, penjualan, dan pengurusan. Tugas-tugas ini seharusnya dapat dilakukan dalam kapasiti sebagai kakitangan organisasi ataupun sebagai usahawan
  • Menyumbang kepada bekalan tenaga manusia mahir untuk menyokong keperluan Pelan Induk Perindustrian Negara
  • Menyumbang, melalui penyelidikan, perundingan, dan pengajaran, kepada pembangunan peralatan dan sistem-sistem terkini, khasnya bagi kegunaan dan kepentingan perkhidmatan awam
  • Membentuk pelajar agar mempunyai sifat patriotik dan jatidiri yang tinggi.
  • Berkemampuan untuk menunjukan pengetahuan, merekabentuk dan melakukan ujikaji termasuk juga menganalisa dan mentafsir data dalam bidang elektrikal, elektronik dan/atau sistem tenaga.