Program Pengajian Diploma yang ditawarkan

SISTEM PENGAJIAN

Jangka masa kursus adalah selama 3 tahun (6 semester) dan akan dijalankan dalam bentuk `lab intensive' dan `practical oriented' yang mana peratusan yang tinggi dari masa pertemuan merupakan aktiviti praktikal yang merangkumi amali makmal, pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri, dan projek tahun akhir.

PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

Universiti Malaysia Perlis menawarkan enam (6) Program Diploma Kejuruteraan melalui enam (6) buah Pusat Pengajian seperti berikut:

i) Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik

Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik – R2427
Program ini direka bentuk untuk membekalkan tenaga separa profesional dalam bidang kejuruteraan mikroelektronik bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor negara. Penyusunan program akademik memberi penekanan kepada aspek teori, praktikal dan pembangunan jati diri. Graduan akan didedahkan secara khusus kepada susun atur litar terkamil, fabrikasi wafer, pempakejan elektronik dan analisa kegagalan, di samping subjek teras yang berlandaskan elektronik. Peluang pekerjaan dalam bidang ini amat meyakinkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja separa profesional selaras dengan perkembangan Pelan Induk Perindustrian Negara. Antara industri yang terlibat adalah seperti Intel, Infineon, Silterra, Motorola, MIMOS, Flextronics, Agilent Technologies, Avago Technologies dan lain-lain lagi. Selain bidang pekerjaan, pelajar juga mempunyai peluang untuk menyambung pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang mikroelektronik mahupun elektronik yang ditawarkan oleh universiti di dalam mahu pun di luar negara.

ii) Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan

Diploma Kejuruteraan Komputer – R2404
Objektif program ini adalah untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat ikhtisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Komputer. Para graduan juga akan diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai usahawan profesional.

Selaras dengan matlamat ini, dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang ke 3 (RRJP3) adalah dijangkakan seramai 137,200 jurutera dan pembantu jurutera dalam pelbagai bidang diperlukan menjelang tahun 2010. Ini termasuklah keperluan untuk jurutera dan pembantu jurutera yang berkemahiran dalam elektronik & perkakasan komputer selaras dengan perkembangan teknologi I CT.

Justeru itu, program yang bakal ditawarkan dapat membentuk generasi berkenaan yang berupaya dan berkebolehan dalam mengaplikasi teknologi terkini dan sebagai penyumbang tenaga kerja terlatih dalam bidang elektronik dan komputer. Jika dilihat dari sudut pembelajaran para pelajar di dalam program diploma ini, maka memang banyak peluang pekerjaan yang boleh didapati di negara ini. Sebagai contoh Intel, Agilent, Motorola, Sapura, Telekom, SIRIM dan lain-lain lagi. Di samping pekerjaan yang banyak ditawarkan kepada pelajar selepas tamat pengajian, pelajar juga boleh menyambung pengajian mereka ke peringkat ijazah sarjana muda dan seterusnya ke peringkat ijazah tinggi di dalam bidang komputer, perhubungan atau elektronik sama ada di universiti tempatan ataupun di universiti luar negara.

iii) Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan

Diploma Kejuruteraan Pembuatan – R2432
Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja separa mahir serta mempunyai pengetahuan berbentuk 'inter-disciplinary', berkebolehan dalam bidang teknikal, pengurusan dan teknologi. Para graduan dibekalkan dengan kebolehan mereka bentuk, pembuatan dan melaksanakan sistem yang bersepadu dengan menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga. Para graduan diploma akan dilatih untuk menjadi Pembantu Jurutera Pembuatan yang berkemampuan menjalankan tugas di dalam bidang pembuatan, mereka bentuk, penyelenggaraan, perundingan dan pendidikan.

Kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi para graduan, dapat membantu menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri. Antara industri yang terlibat adalah seperti Perodua, Proton, NAZA, Honda, Nissan, INOKOM, Silterra, Motorola, Flextronics, Solectron, Agilent Technologies dan lain-lain lagi. Selain bidang pekerjaan, pelajar jugs mempunyai peluang untuk menyambung pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang mekanikal, pembuatan, rekabentuk produk, marin, aeronautik, automasi dan robotik yang ditawarkan oleh universiti di dalam mahu pun di luar negara.

iv) Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan

Diploma Kejuruteraan Metalurgi – R2433
Program ini bertujuan untuk melahirkan tenaga teknikal separa mahir di dalam bidang metalurgi bagi memenuhi permintaan yang tinggi di dalam sektor industri pemprosesan dan pembuatan logam. Keadaan ini disokong teguh dengan pertumbuhan pesat pembangunan negara di dalam sektor industri besi, aluminium dan keluli pada masa kini. Melalui program ini para pelajar akan didedahkan dengan bidang metalurgi terutamanya di dalam kerja-kerja pemprosesan dan pembuatan logam, pemesinan logam di bengkel dan penggunaan peralatan terkini untuk menguji sifat dan kelakuan logam seperti Instron, mesin UTM (Universal Testing Machine), Mikroskop Imbasan Elektron (SEM), Pembelauan Sinar-X (XRD), Brinell, Izod dan Charpy, Rockwell dan Ujian Tak Musnah (NDT). Selain itu pelajar juga akan dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pelbagai jenis kimpalan logam seperti kimpalan arka, gas, TIG dan MIG.

Graduan Diploma Kejuruteraan Metalurgi mempunyai prospek pekerjaan yang luas sama ada di dalam jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, institusi penyelidikan atau sektor swasta dan industri. Antara bidang-bidang atau industri-industri yang berkaitan dengan graduan program ini adalah pemprosesan dan pembuatan logam, automotif, pengujian bahan, perkhidmatan dan penyelenggaraan, mutu dan kawalan produk, kejuruteraan reka bentuk produk, analisa kegagalan dan kimpalan logam. Manakala industri yang berkaitan dengan bidang ini antaranya adalah Antara Steel, Intel, Komag, Proton, Perwaja steel, Produa, Malaysian Smelting Corporation dan banyak lagi. Selain bidang pekerjaan, graduan juga mempunyai peluang untuk menyambung pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan metalurgi atau kejuruteraan bahan yang ditawarkan oleh universiti-universiti di dalam mahu pun di luar negara.

v) Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik

Diploma Kejuruteraan Elektrik – R2420
Program ini adalah untuk melahirkan tenaga separa mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Elektrik. Para graduan diploma akan dilatih untuk menjadi Pembantu Jurutera Elektrik yang berkemampuan menjalankan tugas di dalam bidang pengeluaran, pembinaan, penyelenggaraan, jualan, perundingan, pendidikan dan latihan. Semasa pembelajaran, para graduan akan didedahkan dengan penggunaan peralatan-peralatan yang setaraf dengan peralatan yang terdapat di industri. Para graduan juga berkemampuan menjalankan tugas-tugas pengurusan yang memerlukan kebolehan membuat pertimbangan yang teliti dan tepat. Para graduan juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda di universiti tempatan mahupun luar negara atau pun layak untuk meduduki peperiksaan kompetensi dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

vi) Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik

Diploma Kejuruteraan Mekatronik – R2423
Diploma Kejuruteraan Mekatronik ditawarkan sejajar dengan perkembangan teknologi yang pesat, yang bertujuan untuk melahirkankan graduan-graduan yang mahir dan profesional yang boleh terus menyesuaikan diri dengan industri di Malaysia. Adalah penting untuk mereka mempunyai pengetahuan yang boleh diintegrasikan di dalam pelbagai bidang. Pelajar-pelajar akan didedahkan dan ditekankan kepada pembelajaran secara 'lab-intensive' agar pelajar mempunyai kebolehan untuk merekabentuk, mengendali dan menyelenggarakan peralatan¬peralatan elektrik & elektronik, mekanikal & kawalan, perisian komputer dan teknologi maklumat. Graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas sama ada dalam syarikat-syarikat swasta, industri, jabatan kerajaan atau badan-badan berkanun. la merangkumi bidang-bidang seperti bidang kejuruteraan, pengeluaran, pengujian dan lain-lain bidang yang berkaitan. Antara industri-industri yang terlibat adalah seperti Siemen VDO, Sony EMCS, Elna-Sonic, Sanyo Electronics, Schott Glass, Action Industries dan lain-lain lagi. Selain daripada terus ke bidang pekerjaan, pelajar juga berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka ke peringkat ijazah sarjana muda Kejuruteraan Mekatronik mahupun Mekanikal yang ditawarkan di mana-mana universiti tempatan ataupun universiti di luar negara.

PUSAT-PUSAT PEMANTAPAN AKADEMIK

Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program diploma, terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik UniMAP iaitu:

i) Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan

Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan (PKKK) adalah sebuah pusat perkhidmatan akademik. Ia tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa kepada penganugerahan ijazah. Sebaliknya, ia menawarkan kursus-kursus keperluan universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar termasuk Badan Berunifrom untuk pelajar Diploma dan ko-kurikulum untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda tanpa mengira program akademik yang diambilnya. Selain itu, PKKK turut menawar kursus teras seperti Kemahiran Teknologi Maklumat untuk pelajar Diploma.

ii) Pusat Kerjasama Industri (Center For Industrial Collaboration, CIC)

Pusat Kerjasama Industri berperanan menjalin hubungan dengan pihak industri dari pelbagai aspek, terutama dalam program-program yang berkait terus dengan pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Program Syarahan Industri (InTeLect), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu Program Keusahawanan Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIC dan ianya merupakan sebahagian daripada Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini wajib diikuti oleh semua pelajar. Maklumat mengenai program-program ini dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.

iii) Pusat Kejuruteraan

Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama) yang diperlukan oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana program-program kejuruteraan yang dijalankan pada dasarnya menitikberatkan kepada kaedah 'lab-intensive', maka penekanan yang lebih diberikan kepada amalan praktikal secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal yang terdapat di sini termasuklah Makmal Fabrikasi PCB, Makmal Teknologi Mikropemproses, Makmal Asas Komputer, Makmal CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan Elektrik, Bengkel Kejuruteraan Mekanikal, Makmal Kejuruteraan Pembuatan dan juga Teaching Factory.

iv) Institut Matematik Kejuruteraan

Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) adalah sebuah pusat bagi merancang menawaran dan pemantauan kurikulum matematik kejuruteraan di UniMAP. IMK juga berperanan sebagai institut penyelidikan matematik kejuruteraan dan juga sebagai pusat rujukan dan memberi khidmat kepakaran dalam bidang kaedah penyelidikan matematik, simulasi, kaedah statistik dan penyelidikan operasi. IMK juga sebagai pusat latihan bagi masyarakat kampus dan luar kampus dalam bidang yang berkaitan dengan matematik. IMK menawarkan kursus teras universiti seperti Matematik I, II & III bagi program diploma.

MAKLUMAT LANJUT

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web UniMAP di www.unimap.edu.my atau menghubungi Pejabat Pendaftar (Bahagian Kemasukan) seperti di alamat di bawah :

Jabatan Pendaftar
Bahagian Pengurusan Akademik
Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
Universiti Malaysia Perlis
Tingkat 1, Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Jalan Bukit Lagi
01000 Kangar, Perlis
Tel : 04-979 8701/8702/8706/8008 (Talian Am)
Faks : 04-979 8703