Canselor

  

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
D.K, S.P.M.P.

Tanggal 15 Disember 1967, lahirlah seorang putera hasil ikatan kasih sayang antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri, Tuanku Fauziah bt. Al-Marhum Tengku Abdul Rashid. Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merupakan putera tunggal bagi pasangan diraja itu.

Tuanku Syed Faizuddin memulakan alam persekolahan peringkat rendah pada tahun 1974 di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar, Perlis dan peringkat menengah pada tahun 1980 di Sekolah Menengah Derma , Kangar, Perlis dan seterusnya menyambung pengajian di Sekolah Menengah Penang Free, Pulau Pinang pada tahun 1983. Baginda kemudiannya berangkat ke Melbourne, Australia untuk melanjutkan pelajaran di Carey Grammar School dengan memasuki tingkatan lima dan kemudian mengikuti pengajian matrikulasi tingkatan enam sehingga tahun 1985.

Tuanku Syed Faizuddin kemudiannya melanjutkan pengajian di La Trobe University , Bundoora, Melbourne. Baginda memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B.Ec.) pada tahun 1989. Dalam tahun 2002, Baginda diiktiraf dengan La Trobe Medal, iaitu gelaran penghormatan tertinggi bagi Universiti tersebut. Baginda adalah penerima kedua anugerah tersebut, selepas Presiden negara Greece.

Pada tahun 1990, baginda memulakan kerjaya sebagai Eksekutif di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di mana baginda menjawat jawatan sebagai Pelatih Pengurusan di Bahagian Pengurusan Am. Dari tahun 1992 hingga 1993, Baginda dilantik sebagai Eksekutif Pemasaran dan Jualan (Antarabangsa) untuk pasaran Australasia, Eropah, Timur Tengah dan India dan kemudiannya untuk pasaran Asia dan Afrika dari 1994 hingga 1995.

Pada tahun 1995 hingga 1998, Baginda merupakan Pengurus Kawasan bagi Sepanyol dan Portugal dan menetap di Madrid. Kemudiannya Baginda menjadi Pengurus Kawasan bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah dan menetap di Zurich.

Tuanku Syed Faizuddin telah mendirikan rumahtangga dengan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah pada 9 Mei 1994 dan dikurniakan dua orang puteri, Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah dan Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana. Baginda telah dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis pada tahun 1998. Pada tahun 2000 , Baginda dianugerahkan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis dan Baginda memainkan peranan dan fungsi rasmi sebagai Raja Muda selepas perisytiharan rasmi dilangsungkan pada 12 Oktober 2000.

Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perlis pada 12 Disember 2001 untuk tempoh lima tahun apabila DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-12. Pada tarikh tersebut juga Baginda dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Kerabat Perlis (D.K.) . Dengan perlantikan tersebut, Baginda menamatkan kerjaya dengan MAS pada 31 Januari 2002.

Sebagai Pemangku Raja Perlis, Baginda telah menitahkan untuk melihat negeri Perlis beroleh peningkatan di dalam aspek kemudahan asas kepada rakyat, sumber pendapatan kepada rakyat dan negeri di samping imejnya berada di tahap paling unggul. Baginda turut mahu melihat kempen Tahun Melawat Perlis 2003-2005 beroleh kejayaan dan program ke arah Perlis Cemerlang Negeri Gemilang Sukan menjelang 2006 beroleh sukses.

Tuanku Syed Faizuddin merupakan seorang peminat bola sepak. Semasa zaman persekolahan, Baginda turut mewakili pasukan negeri dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia. Sehingga kini Baginda masih aktif bermain bola sepak dan sering berangkat memberikan sokongan pada setiap perlawanan Liga yang melibatkan Pasukan Negeri Perlis. Baginda juga merupakan peminat setia pasukan Manchester United.

Pada masa kini , Tuanku Syed Faizuddin juga merupakan peneraju Rejimen 504 Askar Wataniah sebagai Komander berpangkat Brigedier Jeneral. Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Presiden Kelab Golf Putra Perlis. Baginda juga adalah penaung bagi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM), Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Perlis, Malaysia Chefs Association, Projek Bola Sepak Ken Barnes Soccer Skills SeMalaysia, Persatuan Boling Padang Perlis, serta Pertubuhan Jemaah Dato'-Dato' Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen telah menunaikan ibadat haji pada bulan Januari 2004 di Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah.

Pada 1 September 2003 Tuanku Syed Faizuddin telah dilantik sebagai Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.