Cokmar

 

Konsep Rekabentuk

Cokmar direkabentuk dengan mengambilkira konsep 'pohon kehidupan'. Terdapat empat bahagian pada cokmar, iaitu akar, batang, daun dan bunga.

Akar

Batil atau bahagian bawah cokmar adalah tapak atau akar, yang menggambarkan hasrat UniMAP untuk terus menyuburkan ilmu dan pengetahuan berdasarkan kejuruteraan. Akar sebagai nadi kehidupan pokok menyerap air dan khasiat semulajadi sebagaimana ilmu dan pegangan agama menjadi nadi perkembangan manusia sejagat.

Ukiran bunga padi yang mengembang ke atas menunjukkan bahawa ilmu dan pendidikan mestilah disemai dari awal untuk melahirkan generasi yang berwawasan dan berkembang maju mengikut acuan yang dikehendaki.

Batang

Batang melambangkan keteguhan. Ia diperbuat daripada perak dan saduran emas serta bermotifkan Bunga Kenanga dan awan larat. Corak ini menggambarkan bahawa proses menuntut ilmu itu tiada batasan dan penghujungnya. Lima logo UniMAP pada batang menggambarkan lima Rukun Islam dan lima Rukun Negara yang perlu dipatuhi. Tujuh segmen (lilitan)pula melambangkan kebesaran Tuhan.

Daun

Pada bahagian bawah, terdapat tiga biji permata berwarna asas iaitu merah, hijau dan biru. Ini melambangkan komponen asas dalam menjana kehidupan melalui khasiat semulajadi alam sekitar. Ia juga menggambarkan perkembangan fizikal dan spiritual komuniti kampus

Sepotong ayat suci AL-Quran yang di petik dari surah Al-Mujaadalah terukir pada bahagian ini. Ayat ini membawa maksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu, dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat, dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan."

Di bawah ayat tersebut terdapat ukiran moto UniMAP iaitu ILMU KEIKHLASAN dan KECEMERLANGAN

Bunga

Pada bahagian atas Bunga Kenanga terdapat mahkota kebesaran Di Raja bagi melambangkan negeri Perlis sebagai sebuah negeri beraja.

Kelopak Bunga Kenanga yang mengembang ke atas diperbuat daripada perak. Lapisan kelopak melambangkan pelbagai jurusan dan kemeriahan graduan yang akan dihasilkan UniMAP nanti. Aroma harum dari Bunga Kenanga adalah diibaratkan ilmu yang dimanfaatkan semua. Enam kelopak bunga melambangkan Rukun Iman. Ia disokong oleh tiga kelopak bahagian bawah yang diukir dengan perak, bermotifkan Bunga Pulut, Bunga Raya dan Bunga Kertas.

Bunga Pulut adalah corak kesenian Melayu yang bercirikan alam. Ia merupakan hasrat universiti untuk menyinarkan cahaya ilmu di rantau ini. Motif Bunga Pulut ini tidak berkesudahan, melambangkan hakikat bahawa menuntut ilmu itu tiada penghujungnya.