Perancangan Strategik Antarabangsa

Pengantarabangsaan di Universiti Malaysia Perlis (Disember 2007)

(1)        Pengenalan

 

(1.1)           Aktiviti pengantarabangsaan telah dimulakan sejak UniMAP ditubuhkan dan pada ketika itu dikendali oleh Dekan Pengurusan Akademik. Dalam tahun 2006 Pusat Hal Ehwal Antarabangsa ditubuhkan dan sejak itu aktiviti pengantarabangsaan diurus oleh pusat ini. Aktiviti pengantarabangsaan di UniMAP dilaksana melalui pusat tanggungjawab (PTj) dan dipantau oleh Pusat Hal Ehwal Antarabangsa melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa (JKHEA) yang dipengerusi oleh Naib Canselor.

 

(1.2)           Objektif umum pengantarabangsaan UniMAP ialah mengantarabangsakan bidang akademik, penyelidikan, program pembangunan insan (mahasiswa dan staf) dan bidang pentadbiran dan pengurusan. Dengan objektif ini Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP berperanan melaksana tanggungjawab yang berikut:

 

·         menyelaraskan aktiviti pengantarabangsaan di peringkat Universiti, khususnya bagi aktiviti yang dimulakan secara berpusat oleh Universiti,

·         membantu PTj melicinkan pelaksanaan aktiviti pengantarabangsaan PTj,

·         menjadi urus setia Jawatankuasa Pengantarabangsaan Universiti (JAPU),

·         menyelaraskan lawatan ke luar negara,

·         menyelaraskan kunjungan dan lawatan tetamu dari luar negara,

·         menyelaraskan isu kebajikan warga UniMAP di luar negara (penginapan, pengangkutan dll.) di UniMAP,

·         memantau status MoU Universiti dengan institusi antarabangsa,

·         menyelaraskan penerbitan Prospectus UniMAP,

·         memantau dan meneliti kandungan laman sesawang versi bahasa Inggeris UniMAP, dan

·         menyediakan dan mengemaskinikan bahan pembentangan dan kit persembahan yang dibawa oleh staf UniMAP ke luar negara kerana urusan rasmi.

 

(2)        Status Semasa (sehingga Disember, 2007)

 

(2.1)      Secara keseluruhan sekitar 120 lawatan keluar negara telah dilaksana oleh Pegawai Utama, Dekan Pusat-pusat Pengajian dan para pensyarah/penyelidik UniMAP. Pada tahun 2007 sebanyak 44 lawatan diadakan. Selain daripada aktiviti pembentangan kertas penyelidikan, mengikuti pameran-pameran penyelidikan antarabangsa, dan promosi pengambilan penuntut, lawatan-lawatan yang diadakan bertujuan (a) merekrut pensyarah antarabangsa yang memungkinkan sebanyak 30 orang tenaga pengajar antarabangsa direkrut, (b) menjalinkan hubungan dengan institusi antarabangsa yang menghasilkan penandatanganan 27 MoU demi mewujudkan hubungan kerjasama strategik dua hala dalam bidang akademik dan penyelidikan, (c) mempelajari sistem akademik universiti-universiti yang dilawati, dan (d) mempromosikan UniMAP ke persada antarabangsa.

 

(2.2)      Untuk mengisi keperluan pengantarabangsaan universiti, UniMAP turut melaksana program pertukaran mahasiswa dengan institusi luar negara. Sehingga kini UniMAP telah mengadakan Program Pertukaran Mahasiswa dengan lima buah universiti antarabangsa dan melibatkan 21 orang mahasiswa UniMAP dan 12 orang mahasiswa dari universiti luar. Antara universiti yang terlibat ialah (i) Tampere University of Technology (Finland), (ii) Universitas Trisakti (Indonesia), (iii) Hatyai University (Thailand), Prince of Songkhla University (Thailand), Baskerud University College (HIBU, Norway), University of New South Wales (Australia) dan HTW Aalen University (Germany).

 

(2.3)      Melalui aktiviti pengantarabangsaan, kini UniMAP berupaya merekrut 47 orang tenaga pengajar antarabangsa; sebanyak 30 orang daripada mereka direkrut semasa lawatan keluar negara dan bakinya melalui pelbagai kaedah promosi. Terkini, UniMAP masih mengekalkan 37 orang tenaga pengajar antarabangsa dari pelbagai negara seperti Indonesia, Iraq dan India.

 

(2.4)      Sebagai hasil promosi program ijazah tinggi yang dibuat secara berterusan melalui pelbagai kaedah, kini UniMAP berupaya mendapatkan penuntut antarabangsa ijazah tinggi yang terdiri daripada sebanyak lapan (8) orang penuntut ijazah sarjana dan 15 orang penuntut Ph.D.  

 

(2.5)      Dalam tahun 2007 sahaja UniMAP berupaya menganjurkan tiga (3) persidangan antarabangsa yang terdiri daripada (i) Conference on Applications and Design in Mechanical Engineering (CADME ‘07), (ii) United Nations Environment Programme (UNEP) International Expert Panel Meeting, dan (iii) 1st International Conference on Sustainable Material (ICOSM 2007).

 

(2.6)      Selain itu UniMAP turut mengalu-alukan lawatan daripada akademia dan pengurusan tertinggi universiti dan institusi luar negara. Antara 2003-2007 UniMAP telah menerima kunjungan daripada 100 orang tetamu antarabangsa daripada 33 buah negara yang membawa penandatanganan MoU, penerimaan pakar rujuk akademik dan penyelidikan, dan sebagainya.

 


           

(3)        Hala Tuju Pengantarabangsaan

 

(3.1)      Pengantarabangsaan Bidang Akademik

 

(3.1.1)               Dalam era perancangan ini pengantarabangsaan bidang akademik akan mengusahakan penambahbaikan program akademik khususnya daripada aspek kurikulum sehingga memiliki wajah kurikulum antarabangsa. Antara usaha yang bakal dilaksana ialah menambahkan input antarabangsa dalam kurikulum dengan memperbanyak penasihat akademik, pemeriksa luar, penasihat penyelidikan dan pakar runding antarabangsa. Inisiatif yang akan diambil termasuk menambahkan bilangan MoU yang aktif dengan institusi antarabangsa dan memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan ternama dan syarikat multinasional antarabangsa di luar negara. 

 

(3.1.2)               Dengan penglibatan badan seperti Washington Accord bersama-sama dengan EAC yang menilai kurikulum kejuruteraan UniMAP, dijangka UniMAP akan memperoleh akreditasi bagi program-program akademiknya dan sekaligus UniMAP akan menjadi peneraju pemerolehan akreditasi program kejuruteraan yang berorientasikan praktikal di negara ini. Dengan cara ini pengiktirafan program akademik di peringkat antarabangsa akan dapat diperluas di UniMAP.

 

(3.1.3)               Menambahkan bilangan tenaga pengajar antarabangsa daripada kalangan akademia ternama di peringkat antarabangsa dalam bidang dan subbidang yang ditawarkan di UniMAP. Selain membawa masuk kepakaran luar ke dalam negara, UniMAP akan menggalakkan para pensyarah/penyelidiknya menawarkan kepakaran masing-masing ke dunia luar khususnya di rantau ini dan negara-negara dunia ketiga melalui penyampaian ucaptama persidangan antarabangsa dan aktiviti penyelidikan bersama dengan rakan-rakan di universiti luar.

 

(3.1.4)               Memantapkan jaringan global dengan membuat undangan-undangan terpilih dan terbuka kepada pakar-pakar pendidikan dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan dari luar negara dengan menjadikan UniMAP sebagai base atau koridor utama bagi mereka di wilayah segi tiga IMT-GT.   

 

(3.1.5)               Menawarkan program-program akademik seperti program ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris dan ijazah-ijazah tinggi yang dapat menarik penuntut dari rantau ini dengan memanfaatkan program kerjasama IMT-GT dan sebagainya.

 

 

 

(3.2)      Pengantarabangsaan Bidang Penyelidikan

 

(3.2.1)               Melaksana pelbagai projek penyelidikan yang merentasi sempadan antarabangsa dengan menganjurkan dan menyertai lebih banyak seminar dan persidangan antarabangsa, membentangkan kertas-kertas penyelidikan, menjana penerbitan kertas ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal atau makalah antarabangsa khususnya yang berimpak tinggi termasuk melalui internet, dan memperbanyak tenaga penyelidik antarabangsa.

 

(3.2.2)               Menjalankan pelbagai projek dan program akademik dan penyelidikan yang diselia dan dibiayai (sekurang-kurangnya sebahagian) oleh badan / yayasan / institusi antarabangsa / luar negara melalui penganjuran seminar, persidangan antarabangsa dan aktiviti penyelidikan bersama.

 

 

(3.3)      Pengantarabangsaan Program Pembangunan Insan

 

(3.3.1)               Membuka ruang yang lebih luas kepada staf akademik yang berkelayakan menyambungkan pengajian di peringkat Ph.D di universiti-universiti terpilih yang mempunyai hubungan kerjasama dengan memanfaatkan SLTPA dan SPLKA di samping menggalakkan staf akademik/penyelidik menganggotai badan-badan profesional peringkat antarabangsa seperti IEEE dan sebagainya.

 

(3.3.2)               Menambahkan bilangan penuntut ijazah tinggi antarabangsa melalui pelbagai program dan skim seperti Skim Pembiayaan Separa Pengajian Ijazah Lanjutan.

 

(3.3.3)               Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pensyarah/ penyelidik dengan mengadakan kursus-kursus tambahan yang berupaya meningkatkan kompetensi mereka berkomunikasi (bertutur, menulis dan membuat persembahan) dalam bahasa Inggeris. Inisiatif ini perlu didahului dengan penambahan bilangan pensyarah dan guru Bahasa Inggeris dari dalam negara atau pensyarah dari luar negara secara contract for service.

 

(3.3.4)               Menggalakkan dan memotivasikan para mahasiswa untuk menyertai program pertukaran mahasiswa dengan universiti luar negara supaya dapat memberikan pendedahan kepada mereka tentang budaya antarabangsa dalam proses mengantarabangsakan para mahasiswa untuk dunia pekerjaan dan penambahan ilmu di luar negara.      

 

 

 

 

(3.4)      Pengantarabangsaan Pentadbiran dan Pengurusan Universiti

 

(3.4.1)               Mempergiat aktiviti promosi dan publisiti melalui pelbagai kaedah, media dan bahasa perantaraan (Inggeris, Arab dan Mandarin) termasuk memperbaik kandungan dan persembahan maklumat dalam portal dengan memanfaatkan kecanggihan ICT dan sumber tenaga dalaman yang kompeten. Untuk menjayakan inisiatif ini infrastruktur dan infostruktur ICT akan dipertingkatkan sehingga mencapai taraf antarabangsa untuk memudahkan laluan dan capaian maklumat. 

 

(3.4.2)               Aktiviti konvensional seperti lawatan dan penyertaan kursus yang strategik akan diteruskan dan diperbanyak dari semasa ke semasa mengikut keperluan di samping membuka luas peluang kunjungan dan penyertaan tenaga pakar luar ke UniMAP dalam pelbagai aktiviti rasmi yang dianjurkan.

 

(3.4.3)               Melaksana sistem kualiti pentadbiran dan pengurusan secara profesional yang diktiraf di peringkat antarabangsa melalui pemerolehan pengiktirafan ISO 9000 dan kualiti makmal (contohnya ISO17025).

 

 

(4)        Penunjuk Prestasi (PI) Pengantarabangsaan 

                                 

(4.1)      Penunjuk Prestasi Pengantarabangsaan terdiri daripada:

 

PIP1        Bilangan program akademik dan kurikulum yang mendapat pengiktirafan antarabangsa

PIP2        Bilangan kursus jangka pendek, seminar dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan

PIP3        Bilangan mahasiswa UniMAP dan luar negara yang menyertai program pertukaran mahasiswa

PIP4        Bilangan staf yang terlibat dengan program pertukaran staf

PIP5        Bilangan staf yang menjadi pakar runding projek dan program antarabangsa

PIP6        Bilangan MoU dengan universiti dan institusi antarabangsa

PIP7        Bilangan MoU dengan universiti dan institusi antarabangsa yang aktif

PIP8        Bilangan tenaga pengajar antarabangsa di UniMAP

PIP9        Bilangan koleksi perpustakaan yang bertaraf antarabangsa

PIP10      Bilangan projek penyelidikan yang merentasi sempadan antarabangsa

PIP11      Bilangan staf yang menyertai persidangan/seminar/kursus peringkat antarabangsa

PIP12      Bilangan penerbitan dalam jurnal/penerbitan antarabangsa

PIP13      Bilangan buku yang ditulis oleh staf yang diterbitkan oleh penerbit antarabangsa

PIP14      Bilangan program sukan yang disertai mahasiswa dan staf di peringkat antarabangsa

PIP15      Bilangan program kebudayaan yang disertai mahasiswa dan staf di peringkat antarabangsa

PIP16      Bilangan staf yang menganggotai organisasi dan badan-badan profesional antarabangsa

PIP17      Bilangan program pengukuhan bahasa Inggeris yang dihadiri mahasiswa dan staf

PIP18      Bilangan mahasiswa dan staf yangmenghadiri program pengukuhan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, Thai dan Mandarin

PIP19      Bilangan program akademik dan kursus pelbagai bahasa antarabangsa yang ditawarkan

PIP20      Pemerolehan dan pematuhan sistem kualiti yang berteraskan ISO 9000 dan yang seumpamanya (contohnya ISO 17025)

PIP21      Perbelanjaan untuk dan penggunaan infrastruktur dan infostruktur ICT yang bertaraf antarabangsa

           

(4.2)      Sebahagian daripada PI ini akan dijadikan KPI korporat UniMAP bagi jangka masa 2008-2010 iaitu: