Kangar , 26 Januari  –Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggerakkan misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1 bagi tahun ini ke Kelantan dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di beberapa kawasan yang terjejas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata seramai 35 sukarelawan yang terdiri daripada 20 lelaki dan 15 perempuan terlibat bagi melaksanakan misi berkenaan.

Menurutnya, mereka ditempatkan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian dan bakal menumpukan usaha pembersihan di tiga lokasi pemindahan banjir sementara bermula 24 hingga 27 Januari ini.

“Antara lokasi berkenaan ialah Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jajahan Pasir Puteh, pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Canggai dan di SK Wakaf Raja.

“Pengisian aktiviti misi kali ini adalah membersihkan dan mencuci pejabat JKM Pasir Puteh termasuk dua pusat pemindahan ini selain menganjurkan aktiviti bersama kanak-kanak mangsa banjir seperti mewarna, tarian  serta gotong-royong memasak bersama Anggota Perkhidmatan Awam (APM) serta JKM,” kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Foad berkata UniMAP turut mendapat kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Jabatan HEPA UniMAP, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2016/17 serta Kelab Sukarelawan UniMAP selain kerjasama HEPA USM, JKM Pasir Puteh dan APM Kelantan.

Katanya, selain bantuan membersihkan kawasan yang terjejas itu UniMAP juga mengadakan sesi perkongsian, motivasi serta interaksi bersama mangsa-mangsa banjir dalam usaha mengurangkan tekanan kepada mereka.

UniMAP turut menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada JKM dan APM bagi memberi sokongan serta melancarkan usaha agensi terbabit dalam membantu mangsa banjir,” katanya.

Untuk rekod, pada Januari tahun lalu UniMAP menggerakkan misi bantuan pasca banjir dengan membabitkan 2000 sukarelawan pelajar dan kakitangan UniMAP sendiri melibatkan tujuh fasa bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Sukarelawan UniMAP bergambar kenangan sejurus tiba di pejabat JKM Pasir Puteh, Kelantan.

Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan memberi taklimat kepada sukarelawan UniMAP sebelum upacara pelepasan ke Kelantan bagi Misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1.

Sukarelawan UniMAP melakukan aktiviti mewarna bersama anak-anak mangsa banjir di pusat pemindahan sementara SK Canggai.

Kangar, 25 Januari - Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menerima pengiktirafan pihak luar apabila dua pensyarahnya dilantik sebagai penasihat penyelidikan Fakultas Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) di Universitas Negeri Makasar (UNM), Indonesia.

Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dilantik atas kesarjanaan masing dalam penyelidikan dan penerbitan jurnal terutama dalam bidang geopolimer dan teknologi hijau.

Pelantikan untuk tempoh dua tahun itu, secara tidak langsung akan menyerlahkan lagi keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa sekaligus meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia amnya.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri, FMIPA merupakan fakulti yang terbesar di UNM dengan mempunyai enam jabatan antaranya Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Pelantikan ini juga merupakan dibuat selepas FMIPA dan UNM kini dalam  perancangan membudayakan dan memperkasakan penyelidikan dan penerbitan dikalangan pensyarah-pensyarahnya agar lebih menyerlah di peringkat antarabangsa,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelantikan kedua-dua pensyarah tersebut di buat dalam satu majlis ringkas bersempena sesi Kuliah Tamu CEGeoGTech UniMAP anjuran FMIPA khusus untuk lembaga penyelidikan UNM dengan dihadiri oleh Timbalan Rektor Prof. Dr. Gufran Darma Dirawan, M.Ed. (Bidang Pengembangan dan Kerjasama).

Dr. Mohd Mustafa menyampaikan kuliah bertajuk, Analisa Pencapaian Penyelidikan dan Penerbitan UNM & Strategi Membudayakan Penyelidikan UNM manakala Dr. Mohd Arif menyampaikan kuliah berkaitan Strategi Penerbitan Berimpak.

Dalam masa yang sama, Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri berkata, beliau bersama dua lagi penyelidik CEGeoGTech, Dr. Rafiza Abdul Razak dan Dr. Zarina Yahya turut menyampaikan kuliah tamu Teknologi Hijau dan Geopolimer kepada 60 orang mahasiswa yang menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang geopolimer.

Ujar beliau, inisiatif perkongsian ilmu ini turut bertujuan untuk meningkatkan penyelidikan dalam bidang  geopolimer dan teknologi hijau yang mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara.

CEGeoGTech UniMAP sememangnya telah dikenali dalam aspek penyelidikan dan penerbitan teknologi ini dimana UniMAP kini menghuni tangga pertama dalam bidang geopolimer berdasarkan pengkalan data Scopus bagi tempoh 5 tahun terakhir ini. 

“Hasil lawatan kali ini juga, CEGeoGTech UniMAP telah bersetuju untuk menerima beberapa orang pelajar FMIPA bagi menjalankan penyelidikan geopolimer di UniMAP bagi tempoh satu hingga tiga bulan, ujarnya lagi.

Beliau menambah, jalinan kerjasama ini juga diharap dapat meningkatkan mobiliti kedua-dua universiti dan pada masa sama kedua-dua institusi juga bersetuju untuk menghasilkan penerbutan secara bersama.

Kangar , 19 Januari  – Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Malaysia  Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai johan di Perasmian Penutup Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Perlis, hari ini.

Nur Syuhada Tasnim Kayati, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik meraih kemenangan itu bagi kategori 20 juzuk dan bakal mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Melaka pada Mac depan.

Nur Syuhada yang  juga diberi gelaran Srikandi Syuhada berkata, makluman pertandingan tersebut diketahui menerusi laman sosial Facebook seterusnya mengambil inisiatif menghubungi pihak Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyertainya.

“Saya juga pernah menyaksikan pertandingan ini pada sesi lepas sekaligus mendorong saya untuk menyertainya pada tahun ini dengan pergi ke MAIPs bagi mendaftar pada 6 Januari lalu.

“Saya tidak menyangka berjaya meraih johan bagi kategori 20 juzuk memandangkan perlu bersaing dengan ramai peserta yang hebat-hebat di pertandingan tersebut,” katanya ketika dihubungi selepas kejayaan berkenaan.

Nur Syuhada yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan itu bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan mula menghafaz Al-Quran sejak tingkatan satu sehingga tamat pada bulan November ketika masih di tingkatan empat.

Anak keempat dari enam beradik itu berkata, dia sudah bersedia bagi pertandingan peringkat kebangsaan walaupun masih di tahap sederhana dan akan melakukan yang terbaik kerana berpeluang mengulang hafazan sepanjang cuti semester.

Katanya, sebelum ini dia terikat dengan jadual harian yang sangat padat sebagai pelajar jadi pengurusan masa bagi mengulang hafazan adalah berorientasikan waktu solat dengan sedaya upaya memanfaatkan setiap waktu solatnya.

“Adakalanya saya banyak memanfaatkan waktu selepas solat Subuh untuk mengulang hafazan saya kerana waktu berkenaan adalah lebih berkat seperti yang disarankan oleh guru-guru saya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam UniMAP, Nasrul Che Ali berkata Nur Syuhada menerima sijil penyertaan, sepasang kain dan wang tunai RM3,000 di atas kejayaan buat julung kalinya bagi UniMAP itu.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, di sini.

Kangar, 6 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini telah mengaktifkan bilik gerakan bencana bertujuan untuk mengutip bantuan bagi membantu mangsa banjir  yang sedang di Kelantan dan Terengganu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, bilik gerakan bencana akan beroperasi menyelaraskan kutipan sumbangan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Kita telah mula membuka bilik gerakan serta merta di Bilik Seminar Za,ba, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) UniMAP, Taman Pertiwi Indah.

“Kita mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai, makanan kering, beras, minyak masak, makanan dalam tin, air mineral serta barang keperluan harian seperti tuala, tuala wanita, lampin pakai buang, selimut, sabun, ubat gigi, berus gigi dan lain-lain keperluan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ujar beliau lagi, sekiranya ada pihak yang bermurah hati untuk menyumbang bantuan kepada mahsa banjir bolehlah menghubungi pegawai yang bertugas Norazam Abdul Rashid di talian 014-3961901 (Hotline - 24 jam) dan 04-9798411 (Pejabat) atau datang sendiri di:

 

BILIK GERAKAN BENCANA UniMAP

No.2, Blok D, Taman Pertiwi Indah
Jalan Kangar - Alor Setar, Seriab
01000 Kangar, PERLIS