Kangar, 30 Mei – Seramai 430 pelajar baharu diploma Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengangkat sumpah sebagai pelajar universiti tersebut dalam satu Majlis Sambutan Siswa Siswi (Akujanji Pelajar) yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra pagi tadi.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucaptamanya berkata, semua pelajar perlu bersyukur diterima masuk belajar di universiti terutama perlu bersaing dengan ramai pelajar.

“Di usia 14 tahun UniMAP adalah sebuah universiti yang hampir matang, namun dari segi program kurikulum pengajaran dan pembelajaran, UniMAP telah berada di tahap yang amat membanggakan.

“Para pelajar patut bangga dan bersyukur kerana dapat belajar di sebuah universiti yang dinamik antara 20 universiti awam (UA) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 276 pelajar lelaki dan 154 pelajar perempuan pengajian Diploma bagi sidang akademik 2016/2017 yang mendaftar pada 29 Mei lalu.

Tambahnya lagi, kalau dilihat dari segi pencapaiannya, UniMAP telah dikategorikan sebagai sebuah universiti yang baik dan cemerlang di belakang universiti-universiti penyelidikan dan universiti komprehensif yang telah lama bertapak di Malaysia melalui pengiktirafan ranking dan rating universiti di Malaysia.

“Kecemerlangan ini bukanlah tertakluk kepada prasarana yang ada semata-mata tetapi turut bergantung kepada mahasiswanya sendiri yang merupakan aset penting buat UniMAP bagi meneruskan kecemerlangannya.

Beliau berharap agar semua pelajar ini akan bersama-sama universiti bukan sahaja untuk mengekalkan kecemerlangannya tetapi turut sama membawa UniMAP ke satu tahap yang amat membanggakan iaitu menjadi antara 500 universiti terbaik dunia pada tahun 2020 nanti.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah sesi memperkenalkan Ketua Jabatan UniMAP.

Manakala pimpinan akujanji pelajar diketuai oleh pelajar Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Abdul Khalim Al Azizi Syahril dari Johor.

Kangar, 30 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk menawarkan silibus atau kurikulum pengajian Bahasa Melayu di luar negara.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, UniMAP dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tersohor di seluruh dunia bagi menubuhkan lebih banyak kurikulum Pengajian Bahasa Melayu.

“Membudayakan sesuatu bererti mengamalkan atau menjadikan sesuatu itu sebagai tabii hidup mengikut kaedah dan rukunnya. Malah membudayakan sesuatu juga boleh dimengertikan sebagai mempraktikkan sesuatu amalan sehingga menjadi sebahagian cara hidup.

“Justeru, membudayakan Bahasa Melayu membawa erti menggunakan bahasa melayu dalam perhubungan liguistik secara betul dan mengisi tuntutan hidup seharian dan seterusnya menunjangi zaman membentuk tamadun masyarakat dan bangsa itu sendiri,” katanya ketika memberikan ucapan aluan pada Majlis Graduasi In – Country Bahasa Melayu UniMAP – Walailak University yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra, baharu-baharu ini.

Tambahnya lagi, sekiranya Bahasa Melayu dipelajari di seberang laut dan digunapakai di Nusantara, ianya secara tidak langsung menyumbang kepada perjuangan tokoh-tokoh bahasa yang terdahulu.

Pada majlis tersebut, seramai 22 pelajar dari Walailak University diraikan selepas tamat kursus Program In – Counry Bahasa Melayu yang dijalankan di UniMAP dan dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP selama satu semester bermula 14 Disember 2015 dan berakhir pada 17 Jun 2016.

Kata Prof. Dr. Zul Azhar lagi, beliau berbangga kerana kesemua pelajar tersebut berjaya menamatkan sesi pembelajaran untuk tempoh enam bulan itu dengan cemerlang.

“Malah saya juga berbangga kerana kejayaan menggembangkan bahasa Melayu ke satu tahap yang lebih tinggi dalam konteks UniMAP sebagai sebuah gedung ilmu,” katanya.

Ujar beliau lagi, antara maklumbalas yang diterima menyatakan program ini sangat bermanfaat sebagai pendedahan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu di samping dapat mempelajari budaya masyarakat Malaysia dengan lebih mendalam.

“Saya berharap usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini tidak akan terhenti dengan Walailak University sahaja sebaliknya dipanjangkan kepada institusi pendidikan lain di masa akan datang.

Beliau juga berhasrat untuk menghantar pelajar UniMAP yang mengambil bahasa Thai sebagai bahasa ketiga ke universiti Walailak bagi mengikuti lawatan dan juga program di sana.

“Program ini telah bermula sebelum ini tetapi lebih santai kerana melibatkan sebuah perkampungan di Thailand dan tidak berorientasikan struktur akademik.

“Oleh itu, diharapkan program bersama pelajar Universiti Walailak nanti akan memantapkan penggunaan bahasa Thai pelajar UniMAP di samping dapat mempelajari budaya masyarakat Thai,” katanya.

Jitra, 29 Mei – Program Homestay dan Budaya Melayu yang melibatkan seramai 22 pelajar mobiliti Universiti Malaysia Perlis, (UniMAP) dari Walailak Universiti, Thailand serta tiga orang pelajar antarabangsa UniMAP dari Yemen, Mesir dan Jordan telah dijalankan bersama komuniti di Kampung Pulau Pisang di sini, baru-baru ini.

Program anjuran CIL UniMAP itu adalah salah satu program kebudayaan Melayu yang menggabungkan pelajar-pelajar antarabangsa UniMAP dan masyarakat kampung Pulau Pisang.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini bertujuan memperkenalkan budaya Melayu kepada para pelajar antarabangsa di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara UniMAP dengan masyarakat di kampung tersebut.

Seramai 25 pelajar yang terlibat telah diagihkan kepada enam buah keluarga angkat di sekitar Kampung Pulau Pisang bagi memberi peluang mereka menikmati serta mencuba makanan dan permainan tradisional masyarakat Melayu.

Menurut Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP Prof Dr. Harshita Aini Haroon, makanan dan permainan tradisional yang menjadi amalan masyarakat kampung di Malaysia ini mampu mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa melalui perkongsian gambar dan video yang dimuat turun oleh pelajar di media sosial mereka.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar antarabangsa UniMAP bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang berada di sini, seperti demonstrasi membuat kuih tradisional Melayu, menganyam daun palas untuk dijadikan ketupat dan berpeluang merasai keenakan ketupat yang dimasak sendiri oleh mereka bersama keluarga angkat.

“Di samping berpeluang merasai makanan ubi kayu bersama dengan sambal ikan bilis, pelajar-pelajar antarabangsa UniMAP juga turut terlibat dengan permainan menangkap itik di dalam sawah dan bermain bola baling di dalam sawah, sebagai acara kemuncak pertandingan selain pertandingan memancing ikan serta melastik tin,” katanya dalam sebuah kenyataanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, selain itu program seumpama ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi mampu mempromosikan budaya masyarakat Malaysia kepada pelajar antarabangsa sekaligus membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana di Malaysia.

“Semua keluarga angkat turut diberi sumbangan barangan dapur sempena Ramadan yang bakal menjelang tiba,” katanya.

 

KANGAR, 29 May (Bernama) – The marketability of Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Diploma graduates recorded a high percentage of 87.3 percent last year.

UniMAP Vice Chancellor Prof Datuk Zul Azhar Zahid Jamal said that as high as 94.92 percent of Diploma of Microelectronic Engineering graduates found employment by July 2015, six month after receiving their diplomas.

“Many UniMAP Diploma graduates had also qualified to pursue their Bachelor Degrees at UniMAP or another university.

“There are even those who have continued on their studies to Masters Degree and Doctorate (PhD) levels,” he said during the family briefing at the Diploma student registration and the Orientation Week Programme for the Academic Session 2016/2017 at UniMAP UniCITI Alam Sungai Chuchuh Campus, Padang Besar today.

He said that UniMAP's Bachelor Degree graduates who became employed in 2015 was 89.6 percent, which was third place among 20 public universities.

For the Academic Session 2016/2017, UniMAP offered 480 places to new students who will attend six Diploma programmes namely Computer Engineering, Electrical Engineering, Mechatronic Engineering, Microelectronic Engineering, Manufacturing Engineering and Metallurgical Engineering.

From that number, UniMAP expects 380 students to accept the offer.

UniMAP's priority is to ensure the number of students attending each programme is not excessive, which is about 60 students per programme.

“This is to ensure lecturers are able to give better attention to the quality of the learning programme being offered,” explained Zul Azhar.

KANGAR, 29 Mei ( Bernama) -- Kadar kebolehpasaran pelajar lulusan Diploma Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat peratusan tinggi iaitu 87.3 peratus pada tahun lepas.


Naib Canselor UniMAP Prof Datuk ZulAzhar Zahid Jamal berkata sebanyak 94.92 peratus siswazah lepasan Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik mendapat pekerjaan pada Julai 2015 iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menerima diploma mereka.

"Ramai pelajar lepasan Diploma UniMAP juga layak melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah samaada di UniMAP atau di universiti lain.

"Malah, ada yang meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD)," katanya sempena majlis taklimat waris pada pendaftaran pelajar Diploma dan Program Minggu SuaiKenal Sidang Akademik 2016/2017 di Kampus Uniciti Alam UniMAP Sungai Chuchuh, Padang Besar hari ini.

Beliau berkata graduan peringkat Ijazah UniMAP yang mendapat pekerjaan pada 2015 ialah 89.5 peratus, yang menduduki tempat ketiga dalam senarai 20 universiti awam.

Bagi Sidang Akademik 2016/2017, UniMAP menawarkan 480 tempat kepada pelajar baharu yang akan mengikuti enam pengajian Diploma iaitu Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikroelektrik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Metalurgi.

Daripada jumlah itu, UniMAP menjangkakan 380 pelajar akan menerima tawaran itu.

"Keutamaan UniMAP adalah memastikan jumlah pelajar yang mengikuti program ditawarkan tidak begitu tinggi iaitu sekitar 60 orang dalam setiap program.

"Ini bagi memastikan pensyarah dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada kualiti sesebuah program pengajian yang ditawarkan," kata ZulAzhar.

-- BERNAMA

 

KANGAR 26 Mei: Anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran untuk terus meningkatkan daya saing dengan tidak hanya terikat dengan modul-modul kepolisan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, beliau mahu SUKSIS UniMAP menjadi pencetus kepada perkara baharu melalui aktiviti yang boleh disumbangkan kepada komuniti, Negara dan antarabangsa

“Tahun lalu kita telah berjaya menganjurkan dua program iaitu SUKSIS Community Outreach Program &  Engagement (Scope) ke Cambodia dan program Sustain The Nature For The Future di Pulau Langkawi.

“Dengan inisiatif yang telah dimulakan ini, saya berharap ianya tidak terhenti malah menjadi titik permulaan untuk kita terus menerajui inisiatif berimpak kepada universiti, komuniti, negara dan antarabangsa,”katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Kawad Komandan Kor Suksis UniMAP 2016, di Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini Baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supritendan Kor SUKSIS UniMAP,  Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail,  Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS,Asisten Superintendent  Kor SUKSIS, Raja Shah Erman Raja Arifin dan Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintendent  Che Yob Pin.

Ujar Zul Azhar lagi, pembentukan mahasiswa yang berdaya saing perlu seiring dengan pencapaian prestasi akademik yang akan menjadikan Anggota Kor SUKSIS UniMAP itu sendiri mempunyai nilai tambah berbanding pelajar lain yang tidak berpeluang membina ilmu dan kemahiran secara komprehensif.

Terdahulu Zul Azhar yang juga Komandan Kor SUKSIS UniMAP memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan. Pada majlis itu juga, seramai enam anggota menerima Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik.

Salah seorang penerima Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik, Mohamad Suhaimi R Ajami,pelajar tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Elektrik Sistem Tenaga berkata, SUKSIS mengajar beliau untuk mempunyai disiplin yang tinggi.

“Saya bersyukur kerana terpilih untuk menyertai SUKSIS, ia banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berdisplin disamping belajar untuk membahagikan masa dengan baik.

“Di samping itu juga, melalui SUKSIS saya dapat berbakti kepada orang ramai kerana banyak aktiviti yang dijalankan lebih menjurus kepada kemasyarakatan,”katanya.

Beliau berharap agar anggota SUKSIS lain menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk mengambil ilmu yang diperolehi sepanjang menyertai SUKSIS kerana ia tidak boleh diperolehi di dalam kelas.

“Gunakan sepenuhnya l peluang yang diberikan ini untuk mengambil ilmu dalam mendisiplinkan diri dan setiap pelajar perlu seimbangkan antara akademik dan ko kurikulum,”katanya lagi.

Majlis Kawad Komandan Kor SUKSIS dihadiri kira-kira 190 orang anggota Kor SUKSIS yang terdiri daripada Skuad 2013, Skuad 2014 dan Skuad 2015.

Ia merupakan acara tahunan bagi memberi peluang kepada Skuad Senior menyiapkan diri sebelum menghadiri Hari Pentauliahan disamping Penyampaian Amanat Komandan kepada semua Anggota Kor SUKSIS.

Dengan hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara diatas.

2. Sebagai makluman berikutan dengan kejadian ribut pada 24 Mei 2016 Pengurusan Universiti telah mengarahkan agar Bilik Gerakan Bencana diaktifkan semula. Sehubungan dengan itu, Bilik Gerakan kini dalam proses mengumpulkan semua maklumat mengenai kerosakan pada bangunan, kemudahan dan harta benda universiti yang rosak akibat dari kejadian ribut tersebut.

3. Bersama ini disertakan borang maklumat kerosakan untuk diisi oleh PTj YBhg Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan jika ada sebarang kerosakan pada bangunan, kemudahan dan harta benda universiti yang dibawah pemantauan ptj YBhg Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan dan borang ini perlu dikembalikan dengan SEGERA ke mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. Borang ini juga boleh dimuatturun menerusi laman web rasmi http://bencana.unimap.edu.my

4. Jika terdapat staf dibawah YBhg Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan yang juga menjadi mangsa mohon dimaklumkan kepada staf tersebut untuk mengisi borang elektronik di laman rasmi http://bencana.unimap.edu.myTemp files

KANGAR, 23 Mei – Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) menganjurkan Program Breakfast Bersama CEO@University bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dari individu yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Dekan PPIPT, Prof. Madya Dr. Hazry Desa berkata,  menerusi kajian sudah terbukti bahawa pendidikan keusahawanan mampu menjadikan pelajar lebih berdaya saing dari segi pemikiran dan tingkah laku.

“Pada program kali ini, kita telah membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mega Padu Sdn. Bhd. dan Pengusaha Produk terkenal SimplySiti, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.

“Saya melihat program seperti ini akan dapat menaikkan semangat para pelajar untuk menceburi bidang perniagaan kerana mereka dapat mendengar dan bertanya sendiri pengalaman susah payah seseorang CEO itu sebelum menempuh kejayaan,“katanya ketika ditemui selepas Program Breakfast Bersama CEO@University.

Turut hadir, SMECorp Kedah/Perlis, Syed Nahar Syed Harun.

Pada program itu, Dato’ Normaziah berkongsi pengalaman mengenai perjalanan hidup beliau dalam membangunkan perniagaan bermula dari butik kecantikan sehinggalah tertubuhnya Mega Padu Sdn. Bhd. yang mempunyai lebih empat anak syarikat dibawahnya.

“Untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, seseorang usahawan itu  perlulah mempunyai minat dan sentiasa fokus dalam sesuatu perkara yang dilakukan.

“Sesorang usahawan itu perlu mengenalpasti kehendak semasa orang ramai sebelum membuat keputusan bagi penghasilan produknya,”katanya.

Ujar beliau lagi, seseorang usahawan tidak boleh mempunyai sifat malu sebaliknya perlu menebalkan muka untuk mempromosikan produknya.

Untuk rekod, Program Breakfast Bersama CEO@University merupakan anjuran kali kedua PPIPT UniMAP yang menampilkan Presiden B.Braun Kawasan Asia Pasifik, Anna Maria Braun Januari lalu.

ALOR SETAR, 22 Mei  – Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan(PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Majlis Makan Malam, Business School Association 2016 (AGDBESCA16) bagi menghargai pencapaian pelajar-pelajarnya.

Majlis yang berlangsung di Hotel Star City, di sini, disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Komunikasi Korporat) Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zain, Dekan PPIPT Prof. Madya Dr. Hazry Desa, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Akademik) Dr. Tunku Salha Tunku Ahmad, Timbalan  Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Muhamad Azan Yaakob.

Antara anugerah yang disampaikan kepada para pelajar adalah Anugerah Kecemerlangan Akademik Perniagaan Antarabangsa bagi kategori pelajar tempatan dan antarabangsa, Anugerah Kecemerlangan Akademik Keusahawanan Kejuruteraan, Anugerah Ikon Keusahawanan, Anugerah Kesukaan, Anugerah Kebudayaan, dan Anugerah Kepimpinan.

AGDBESCA16 juga turut mencatat sejarah apabila kira-kira lebih 400 tetamu hadir pada majlis tersebut.

Penganjurannya juga turut mendapat tajaan  sepenuhnya daripada One Nation Technical Education, GISB Enterprise, Madani Offshore Sdn. Bhd., Ada Hotel & Apartment, Medic Link Marketing, Pinnikle SdnBhd, dan Hannah Cookies Coffee House.

Iasi, 21 Mei – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diiktiraf dan dihargai sumbangannya apabila dianugerahkan ‘Outstanding Scientist’ sempena 8th European Exhibition of Creativity and Innovation( EUROINVENT 2016) di Palas Mall, di sini, semalam.

Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga Presiden Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dianugerahkan anugerah berkenaan di atas sumbangan beliau dalam perkembangan bidang bahan termaju di antara kedua-dua negara Malaysia dan Romania.

Ini berikutan sejak 2010, lebih 100 penerbitan akademik termasuk jurnal berimpak, buku, prosiding dan banyak lagi berjaya dihasilkan hasil hubungan erat dua hala itu.

Selain itu, pasukan Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan di EUROINVENT 2016 apabila hasil penyelidikan mereka mendapat pengiktirafan daripada pelbagai agensi serta meraih sembilan pingat emas dan empat perak.

Menurut Dr Kamarudin, salah satunya ialah hasil penyelidikan UniMAP GeoPipe oleh pelajar doktor falsafah (PhD) Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Mohamad Firdaus Abu Hashim yang meraih anugerah khas daripada Croation Inventors Association dan Best Invention Association of Thai Innovation and Invenyion Promotion (ATIP) Thailand bersama pingat emas.

“Satu lagi pingat emas UniMAP juga disumbangkan oleh Prof. Madya Dr Zainab Hamzah melalui penyelidikanya A Portable and Handy Edible Bird Nest Instant Drink yang turut mendapat penghargaan khas daripada University of Sibiu Romania.

“Tujuh pingat emas Malaysia yang lain disumbangkan oleh Prof. Dr. Hanafi Ismail (Universiti Sains Malaysia), Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (Universiti Teknologi Petronas), Dr. Ervina Efzan Mohd Nor (Multimedia University), Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, MRSM Betong Sarawak dan Sekolah Tinggi Kluang Johor dengan dua daripada pingat emas itu disumbangkan oleh syarikat persendirian iaitu FX Group Sdn. Bhd  yang turut sama menyertai pameran EUROINVENT kali ini,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Terdahulu, MyRIS turut menjalinkan kerjasama dua hala dengan Eurobusiness Haller dari Poland dan Association of Thai Innovation and Invenyion Promotion (ATIP) Thailand dengan dihadiri sendiri oleh Presidennya iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala Haller diwakili oleh Agnieszka Jastrzabska dan ATIP dihadiri oleh Pengerusinya iaitu Prof. Madya Dr. Unchalee Sa.

Turut diadakan International Conference on Innovative Materials (ICIR 2016) yang diadakan di Hotel Ramada Iasi Romania yang melibatkan hampir 100 kertas kerja daripada 17 buah negara dimana hasil kerja yang berkualiti akan diterbitkan dalam jurnal berimpak Scopus dengan dua pembentang utama Malaysia yang dijemput iaitu Dr. Norsuria Mahmed ( UniMAP) dan Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (UTP) anjuran UniMAP bersama Georghe Asachi Technical Univeraity of Iasi Romania.

Lebih 500 inovasi dipertandingkan melibatkan hampir 40 buah negara telah menyertai pertandingan EUROINVENT 2016 kali ini antaranya ialah Bulgaria, Canada, Croatia, Egypt, Indonesia, Iran, Iraq, Korea, Taiwan, Moldova, Arab Saudi, Thailand, Russia, Poland, Vietnam, United Kingdom dan United States of America serta banyak lagi.

Perasmian EUROINVENT 2016 berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Iasi iaitu Mihai Chirica.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata pencapaian membanggakan ini menunjukkan UniMAP mempunyai hasil jaringan antarabangsa yang baik dan aktif.

“Saya rasa amat bersyukur atas pencapaian sangat memberangsangkan yang memberikan impak kepada UniMAP dan berharap UniMAP mengekalkan kecemerlangan ini di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Ini merupakan pencapaian pertama UniMAP di persada antarabangsa semenjak beliau menjadi Naib Canselor pada 1 Mei yang lalu.

Arau, 21 Mei- Lebih 10,000 pengunjungmembanjiriperkarangan Istana Arau bagi memeriahkan Malam Kilauan Cahaya 2016 yang berlangsung mulai semalam, di sini.

Keadaan hujan renyai-renyai tidak menghalang pengunjung untuk hadir seawal jam 8 malam pada hari pertama bagi menyaksikan persembahan kebudayaan dekorasi lampu pelbagai warna, lawatan ke Galeri DiRaja serta pertunjukan bunga api.

Seorang pengunjung Syafawani Shaffi, 25 berkata, program yang diadakan sekali setahun ini memberi peluang kepada rakyat negeri Perlis yang tidak pernah memasuki perkarangan istana untuk berkunjung ke sini.

“Program seperti ini perlu terus diadakan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada masyarakat, remaja serta kanak-kanak untuk melihat sendiri istana dari dekat serta mengetahui sejarah institusi diraja negeri ini.

“Selain itu, program ini yang berlangsung pada hujung minggu turut memberi peluang warga negeri ini dan negeri jiran dapat beriadah di hujung minggu sambil berhibur”, katanya ketika ditemuramah di sini.

Seorang lagi pengunjung Tan Hooi Lang, 52 berkata, ini adalah kali keempat beliau berkunjung ke sini dan tidak kisah walaupun datang dari Jitra yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan.

“Jarak yang jauh bukan penghalang untuk saya ke sini bagi mengambil peluang beriadah bersama rakan-rakan serta merakamkan gambar sebagai kenang-kenangan.

“Walaupun cuaca tidak menentu dan hujan pada malam ini, saya dapati ramai pengunjung mengambil peluang ini untuk bersama-sama keluarga dan rakan taulan sekaligus menunjukkan program ini bermanfaat kepada warga negeri Perlis serta kawasan berhampiran,” katanya.

Malam Kilauan Cahaya 2016 itu adalah program tahunan anjuran Universiti Malaysia Perlis dengan kerjasama Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang diadakan ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke 73.

Program itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, persembahan silapmata, pertunjukan yo-yo serta kasut roda oleh persatuan The Knight Bladerz.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Duli Yang TeramatMuliaTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullaildan Raja Pua nMuda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mencemar duli beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.

Baginda berdua turut berkenan menyaksikan penyerahan dua cek sumbangan kepada Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART)diwakili Timbalan Ketua Pustakawan Nizam Azid yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Dato’ Zulkiply Ramli bernilai RM4380 dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JabatanPerpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia, Abdul Halim Omar bernilai RM2400 di program berkenaan.

Langkawi 18 Mei: Seramai 40 ahli Kumpulan Latihan Kelana Mahasiswa Laut (KLKM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti program Eksplorasi Maritim III bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 2016 di Langkawi baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UniMAP Ahmad Nasir Che Rosli   berkata program selama dua hari itu menumpukan latihan aktiviti air dan ilmu berkaitan pelayaran merangkumi seamanship, navigasi, teknikal dan penguatkuasaan.

“Para peserta diberikan pendedahan ilmu di air oleh jurulatih KLKM Laut UniMAP manakala program pelayaran dibuat oleh pihak APMM melibatkan dua buah kapal iaitu KM Tenggol dan KM Sikuati. 

“Ia bertujuan untuk memantapkan silibus ko-kurikulum KLKM Laut UniMAP selain peserta banyak didedahkan dengan ilmu teori didalam kelas sekaligus dapat menambah ilmu sedia ada,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Daerah Maritim 1 Langkawi, di sini.

Ujar beliau lagi, semua modul itu amat berguna kepada semua peserta  terutamanya kepada yang meminati aktiviti air terutamanya bagi tujuan keselamatan.

“Ilmu yang didedahkan semasa aktiviti air dapat membantu peserta bagi menangani perkara buruk yang boleh berlaku semasa melakukan aktiviti air seperti memberi bantuan awal sekiranya berlakunya kejadian tidak diingini seperti kejadian lemas.

“Justeru, saya berharap program seperti ini bersama APMM ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan kerana pengisiannya adalah amat bermanfaat kepada ahli KLKM Laut UniMAP,” kata beliau.

 

Sementara itu, pihak APMM turut melakukan demonstrasi penguatkuasaan dimana demo penahanan bot yang disyaki melanggar undang-undang maritim dibuat sebagai pendedahan kepada para peserta.

Turut hadir pada program ini ialah Leftenen Komander Maritim Mohd Aizad Zainudin yang mewakili Laksamana Pertama Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee.

Kuala Lumpur, 14 Mei – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin diangkat sebagai penerima pertama anugerah MINDS Visionary kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada Malam Budaya Cipta sempena 27th International Innovation Exhibition 2016 (ITEX’16) yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental malam tadi.

Beliau terpilih selepas menunjukkan komitmen yang tinggi, dan kerjasama yang jitu, serta sokongan dan usaha yang tidak berbelah bahagi dalam memartabatkan penyelidikan di Malaysia melalui kepimpinannya semasa menjadi Naib Canselor UniMAP.

Pengasas dan Presiden MINDS, Tan Sri Emeritus Prof. Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock berkata, anugerah itu diberikan kepada individu yang banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui kepimpinannya.

“Anugerah ini baharu pertama kali diperkenalkan pada ITEX 2016 dan diberikan khusus buat insan yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap bidang sains dan teknologi demi kemajuan masyarakat,” katanya

Sementara itu, Datuk Kamarudin yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) ketika ditemui menyifatkan anugerah yang diterima beliau adalah sesuatu yang sangat mengharukan dan berjanji akan lebih giat dalam memajukan bidang penyelidikan di Malaysia.

“Walaupun kini saya tidak lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor, saya berjanji akan meneruskan usaha memartabatkan bidang penyelidikan di Malaysia bukan sahaja diperingkat pendidikan tinggi tetapi bermula dari akar umbi,” katanya.

Ujar beliau lagi, di peringkat kementerian pelbagai perancangan untuk sektor pendidikan tinggi sedang direncanakan bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju akan tercapai tidak lama lagi.

“Sebuah Negara maju mempunyai beberapa ciri penting antaranya penguasaan ilmu pengetahuan dan juga teknologi. Oleh itu, penguasaan pendidikan dan kemajuan penyelidikan harus bergerak seiring dan tidak wajar dipandang enteng lagi jika kemajuan Negara ingin dicapai,” katanya.

Terdahulu, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Datuk Kamarudin, penganjur ITEX 2016 iaitu MINDS menawarkan tapak pameran kepada beliau bagi mempamerkan semua kejayaan yang dilakar beliau bersama ITEX sepanjang bergelar Naib Canselor UniMAP untuk dikongsikan bersama pengunjung ITEX 2016.

ITEX’16 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Korea, Oman, Filipina, Poland, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE) yang menjadi platform kepada 152 penyelidik muda Negara untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Malah penyelidik muda ini juga turut berpeluang untuk bersaing dengan penyelidik muda antarabangsa melalui Asian Young Inventors Exhibition (AYIE). 

ITEX’16 dibuka untuk dilawati orang ramai bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang (12 dan 13 Mei 2016) dan 9 pagi hingga 2 petang (14 Mei 2016).

 

 

 

Kuala Lumpur, 14 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul seratus peratus pingat pada 27th International Innovation Exhibition 2016 (ITEX’16) yang berlangsung bermula 12 hingga 14 Mei 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal jumlah peratusan pingat emas yang dicapai pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas iaitu 46 peratus bagi tahun 2016 berbanding 30 peratus pada tahun 2015.

“Berlaku peningkatan sebanyak 16 peratus bagi pingat emas yang diraih oleh penyelidik UniMAP dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi kami di UniMAP,” katanya ketika dihubungi selepas pengumuman keputusan pingat ITEX’16.

UniMAP telah menghantar 15 produk dan berjaya meraih tujuh pingat emas, enam perak dan dua gangsa.

Ujarnya lagi, kemenangan ini bertambah manis apabila empat produk UniMAP  yang meraih pingat emas dan dua produk pingat perak turut terpilih untuk tujuh anugerah khas yang disampaikan pada Malam Budaya Cipta yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental malam tadi.

Selain meraih pingat emas, produk Hybrid Fiber – Wireless (FI-WI) System Using Flexible Cross Correlation (FCC) Code For Future Access Networks oleh Dr. Mohd Rashidi Che Beson turut terpilih untuk menerima dua anugerah khas masing-masing dari Asia Invention Association dan Korea Invention Academy.

Produk MEMS Structure Realization Using KRF Excimer Laser Micromaching oleh Prof Madya Dr. Yufridin Wahab juga meraih anugerah khas dari Asia Invention Association.

Manakala produk penyelidikan  Dr. Mohd Zakimi Zakaria bertajuk Stance Wheel Innovation of Supporter Chair for Disable Patient pula meraih anugerah khas dari Korea Invention Academy.

Produk hasil penyelidikan Dr. Muzamir Isa bertajuk Wireless Inductive Coil Sensor Based On Abs Material For Smart On-Line Partial Discharge Detection In High Voltage Power Cable menerima anugerah khas dari Taipie International Invention Show and Technomart (INST).

Walaupun meraih pingat perak, produk penyelidikan Dr Sam Sung Ting yang bertajuk EcoMulch Film turut juga menerima anugerah khas dari pihak Korea Invention Academy. Manakala produk penyelidikan bertajuk ZNODE: Novel Natural Dye DSSC From Fruit Mixtures For Nature’s Energy Conversion oleh Ili Salwani Mohamad pula berjaya meraih anugerah khas dari Association of Polish Inventions and Rationalizers.

ITEX’16 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Korea, Oman, Filipina, Poland, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE) yang menjadi platform kepada 152 penyelidik muda Negara untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Malah penyelidik muda ini juga turut berpeluang untuk bersaing dengan penyelidik muda antarabangsa melalui Asian Young Inventors Exhibition (AYIE). 

ITEX’16 dibuka untuk dilawati orang ramai bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang (12 dan 13 Mei 2016) dan 9 pagi hingga 2 petang (14 Mei 2016).

Pauh Putra, 11 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mendapat perhatian institusi pengajian tinggi dari luar negara apabila Universiti Zarqa (ZU), Jordan berhasrat bagi menjalinkan kerjasama.

Justeru, satu majlis menandatangani surat hasrat (LOI) diadakan di Library Lounge, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di antara ZU dan UniMAP, di sini, hari ini.

UniMAP diwakili Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal manakala ZU diwakili rektornya, Prof Dr Mahmoud Al-Wadiy.

Kunjungan pertama ZU ke UniMAP itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah ZU Dr Mahmoud Abu Syaerah, Pengarah Akademik Al-Bayan Corporation Dato’ Mahmoud Abdul dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Kebudayaan ZU, Safwan Omari.

ZU mengadakan lawatan ke Malaysia dalam usaha bagi meningkatkan hubungan dengan Universiti Awam (UA) dan tertarik bagi mengadakan kerjasama dalam bidang kejuruteraan selepas dibawa melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik, AMBIENCE, dan PTSFP.

Universiti swasta pertama di Zarqa itu ditubuhkan pada 1994 terdiri daripada enam kolej dengan 150 pelajar pada awal penubuhannya dan kini sudah mempunyai 9000 pelajar di 13 kolej dengan tujuh fakulti kemanusiaan serta enam lagi adalah fakulti saintifik.

KANGAR, 11 Mei: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Dato’ Profesor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), bagi menggantikan Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin yang telah tamat kontrak pada 10 Februari 2016 lalu.

Perlantikan Profesor Dr. Zul Azhar itu adalah bagi tempoh tiga tahun  dan  berkuatkuasa mulai 1 Mei 2016 sehingga 30 April 2019.

Profesor Dr. Zul Azhar yang dilahirkan di Taiping, Perak dan mendapat pendidikan menengah di Malay College, Kuala Kangsar (MCKK). Beliau mempunyai kelayakan sarjana muda dan sarjana dalam bidang Fizik daripada Western Michigan University, masing-masing dalam tahun 1985 dan 1987.

Beliau kemudiannya berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di University of Liverpool dalam bidang Kejuruteraan Bahan dengan pengkhususan  Fabrikasi dan Pencirian Bahan Elektronik.

Kemudian beliau menyambung perkhidmatan di USM sehingga UniMAP (pada waktu itu KUKUM) ditubuhkan pada tahun 2002.

Di UniMAP, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar telah dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik sehingga tahun 2006. Seterusnya beliau diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) selama 3 tahun.

Pada tahun 2011, beliau telah dilantik pula sebagai  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Setelah mantan Naib Canselor UniMAP tamat tempoh pelantikan pada bulan Februari 2016, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar telah diamanahkan untuk menjalankan tugas-tugas Naib Canselor sehingga kini.


Pengalaman YBhg. Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar dalam bidang pentadbiran menjadikan beliau calon yang sesuai untuk memimpin UniMAP ke tahap yang lebih tinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin atas khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan Naib Canselor UniMAP selama 14 tahun mulai 16 Februari 2002 sehingga 10 Februari 2016.

Justeru, adalah menjadi harapan KPT agar budaya kecemerlangan beliau diteruskan oleh Naib Canselor baharu UniMAP.

Sementara itu, Zul Azhar berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah yang besar dan berat, beliau berharap agar semua warga UniMAP memberikan sokongan agar dapat bersama-sama membangunkan sebuah universiti.

“Ini merupakan satu amanah yang besar dan berat, marilah kita bersama-sama membangunkan sebuah universiti,” katanya.

Pauh Putra, 10 Mei- Kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran bagi mendapatkan khidmat kaunseling agar dapat membantu menguruskan kewangan kehidupan seharian dengan baik.

Ini berikutan lebih 150 kakitangan universiti ini mempunyai kadar keberhutangan yang serius iaitu 60 peratus hutang daripada gaji hakiki mereka menyebabkan golongan ini menghadapi masalah kewangan yang membebankan.

Saranan ini disuarakan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal ketika menyampaikan ucapan bagi merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan (Potongan Gaji – Pinjaman Perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)) di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini, hari ini.

Menurut Zul Azhar, adalah penting bagi kakitangan awam memahami dan mengetahui pengurusan kewangan bagi mengelakkan tekanan akibat hutang yang tinggi sehingga menjejaskan kehidupan harian.

“Adalah penting golongan ini mendapat khidmat kaunseling serta mengikuti seminar seperti hari ini bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi.

“Justeru, saya berharap menerusi seminar ini, kakitangan UniMAP mendapat penerangan yang lebih jelas mengenai pengurusan kewangan terutama membabitkan pinjaman, pelaburan dan simpanan, “ kata beliau.

Seminar Pengurusan Kewangan anjuran Jabatan Bendahari dan Unit Latihan UniMAP itu turut dihadiri Pengurus Cawangan BMMB Kangar, Rosli Mahamud, serta tiga penceramah bagi tiga slot iaitu Pengurus Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LPSSA Mohd Rashidi Baba, Pengurus Cawangan ASNB Kangar Abdul Rahman Amir dan Naib Presiden merangkap Head Consumer Banking,BMMB Awang @ Musran Tawil.

Seminar berkenaan dihadiri hampir 200 kakitangan UniMAP dari pelbagai peringkat jawatan dan Pusat Tanggungjawab (PTj) dalam usaha Jabatan Bendahari meningkatkan kefahaman warga UniMAP mengenai pinjaman perumahan, pelaburan ASNB dan simpanan.

Kangar, 8 Mei 2016 – Suasana meriah memenuhi Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Sin Min, Pauh apabila seramai 300 pelajar dan orang ramai membanjiri dewan tersebut bagi sambutan Pesta Tahun Baharu Cina 2016, malam tadi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia adalah amat unik.

“Keunikkannya adalah dari segi persembahan dan cara sambutannya melalui kepelbagaian aktiviti yang kreatif berpandukan unsur tempatan masyarakat Malaysia.

“Malah setiap tahun, penganjuran Pesta Tahun Baharu Cina dilaksanakan oleh pelajar berbeza yang dilantik  menjadi Sekretariat Program Pesta Tahun Baharu Cina,” katanya.

Lantikan berbeza ini adalah bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dalam merencana sesebuah program.

Ujar beliau lagi, dalam merencana sesebuah program, ianya tidak diadakan semata-matanya untuk mengumpul warga UniMAP, tetapi lebih kepada untuk mengekspresikan dan mengeksplorasi perspektif warga Malaysia keunikkan budaya kaum Cina dan juga budaya kaum lain.

Beliau yakin, selain mengeratkan hubungan sesama pelajar dan staf, sambutan ini juga membantu meningkatkan penghasilan graduan yang holistik, yang mempunyai kemahiran keusahawanan dan kemahiran lain yang seimbang seperti yang digariskan dalam Pelan Lonjakan Pertama.

“Ini kerana melalui penganjuran program sebegini, daya tahan dan semangat berdaya usaha untuk merealisasikan sesuatu perkara itu akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

“Oleh itu, para pelajar ini secara tidak langsung akan mempunyai disiplin yg berkaitan pengetahuan dan kemahiran (Ilmu), Etika dan moral (akhlak) serta tingkah laku yang sesuai, pemikiran, budaya dan celik ketamadunan (Beradab) yang akan memajukan mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk kesejahteraan hidup mereka kelak,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Razli Ahmad.

Hadir memeriahkan program ini adalah pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Kangar – Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan individu penting yang boleh mencorakkan masa depan negara terutama dalam aspek perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Perlis, Jazli Fadzli berkata, dalam situasi yang serba mencabar dan dengan pelbagai krisis yang melanda negara, semangat kesetiaan rakyat seringkali diuji yang mana ia membawa kepada perpecahan kaum dan agama.

Justeru, ujar beliau, mahasiswa IPT yang sememangnya terdiri dari kepelbagaiam kaum, bangsa dan agama merupakan model terbaik untuk memastikan perpaduan rakyat Malaysia terus kukuh dan utuh dalam menghadapi sebarang ancaman baik dari dalam atau luar negara.

Menurut beliau, atas dasar itu juga, BTN dengan kerjasama Sahabat Mahasiswa dan NADI Perlis menganjurkan Karnival Mahasiswa Perlis Patriotik (IMPATRIOT) khusus untuk menyuburkan semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan mahasiswa.

“Melalui penganjuran ini juga, semangat kesetiaan, bersatu padu dan harmoni dapat diterapkan dalam sanubari mahasiswa dengan cara mengukuhkan persamaan dan meraikan perbezaan antara kepelbagai masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

“Saya berharap, penganjuran program ini secara tidak langsung menggalakkan mahasiswa untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah diciptakan berasaskan semangat cintakan Malaysia,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival IMPATRIOT di Dataran Dato’ Sheik Ahmad di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir menyempurnakan upacara perasmian. Yang turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, YB Jamil Saad dan Ketua Pengarah Karnival IMPATRIOT, Mohd. Suhaimi R. Ajami.

Karnival tersebut yang julung kali dianjurkan mencipta sejarah tersendiri apabila membabitkan lebih 300 mahasiswa dari 10 buah IPT di Perlis yang akan berlangsung sehingga 6 Mei ini.

Karnival IMPATRIOT 2016 bakal mempertandingkan 12 acara antaranya Street Soccer, Mencari Harta Karun, Fear Factor, pertandingan papan luncur (skateboard), Nyanyian Lagu Patriotik dan Nasyid, senamrobik, Kawad Formasi Berirama, pertandingan produk inovasi dan kreativiti serta pertunjukan seni bela diri.

Selain itu, gerai siswa niaga juga disediakan khusus untuk membudayakan aktiviti keusahawanan dikalangan mahasiswa, dengan jangkaan lebih 50 gerai niaga diperuntukkan kepada mahasiswa di semua IPT.

Turut mengisi agenda penganjuran ialah acara Night Run dan program khidmat komuniti membabitkan lebih 100 sukarelawan yang akan diadakan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dalam pada itu, Mohd. Suhaimi yang merupakan pelajar tahun tiga di Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, selain UniMAP, IPT lain yang terlibat dalam program tersebut ialah,  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, Kolej Komuniti Arau, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Profesional Malaysia (KATPM).

“Jika sebelum ini saya hanya mengetuai penganjuran aktiviti di peringkat universiti sahaja, namun program kali ini memberikan cabaran yang cukup berbeza apabila saya perlu mengendalikan lebih 300 ahli sekretariat sahabat mahasiswa dalam memastikan kelancaran karnival ini.

“Saya melihat penganjuran karnival ini sebagai platform terbaik untuk saya dan sahabat mahasiswa lainnya berinteraksi, merancang dan menjayakan sesuatu acara yang besar di peringkat negeri,” ujar beliau.

Langkawi, 1 Mei – Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Program ‘Team Building, Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Pemuliharaan Alam dan Busking Street Charity’ di sini, mulai 27 April sehingga 1 Mei baru-baru ini.

Program selama lima hari empat malam berkenaan diadakan di Kem Biro Tatanegara Langkawi dan sekitar Langkawi dengan disertai 31 kakitangan UKR bersama 10 pelajar UniMAP diketuai Pengarahnya UKR, Encik Mohd Izwan Izhar Haris.

Aktiviti pertama telah dijalankan dengan kerjasama Biro Tatanegara (BTN) Negeri Perlis iaitu Kursus Pemantapan dan Sahsiah Diri dengan pengisian kursus seperti Wacana Minda, Peningkatan Keilmuan Penjanaan Kesedaran (PKPK) dan riadah.

Bagi aktiviti USR, gotong royong pembersihan pantai serta aktiviti membina monumen IM4U dengan kerjasama agensi IM4U itu telah diadakan di pantai Cenang.

Pada sebelah malam pula aktiviti USR diteruskan dengan ‘Busking Street Charity’ bersama serta pelajar UniMAP selama dua malam berturut-turut yang diadakan di Cenang Mall. Di sebelah siang pada 30hb April diadakan juga ‘Busking Street Charity’ bersama Kumpulan Seni Budaya Harapan Pulau Tuba di kawasan Jetty Point.

‘Busking Street Charity’ diadakan dengan matlamat bagi mengumpul dana untuk membantu merealisasikan penubuhan Pusat Hab Sumber Pendidikan Latihan Anak Autisme (A-HEART) UniMAP serta sebagai promosi perkhidmatan UKR kepada orang ramai di sekitar Pulau Lagenda itu.

Lagu-lagu bertemakan patriotik, lagu asli serta lagu terkini yang dipersembahkan menarik  perhatian pengunjung Cenang Mall dan pelancong luar negara yang turut sama menari sekaligus memeriahkan suasana persembahan pada malam berkenaan.

Kutipan mencecah RM2,000 berjaya dikumpulkan seterusnya sebahagiannya disampaikan kepada kepada wakil A-HEART yang turut sama menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di sini.

Secara keseluruhannya, semua aktiviti dalam program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan hasil kerjasama diantara semua kakitangan UKR dan juga pelajar UniMAP yang terlibat.

Dengan pengisian yang dilakukan dalam setiap aktiviti telah mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama kakitangan UKR dan mewujudkan suasana persekitaran yang baru serta memberi satu pengalaman yang baru kepada kakitangan UKR.

Selain BTN dan IM4U, agensi lain yang terlibat dalam memberi kerjasama dengan pihak UKR ialah Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat swasta, Jetty Point Reality Sdn Bhd.