Artikel

SUTRAMAYA UniMAP RAIH TEMPAT KETIGA DI FESTIVAL TARI 1MALAYSIA MAKUM 2017

Sintok, 22 April  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih tempat ketiga di Festival Tari 1Malaysia anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2017 yang diadakan di Dataran Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.

UniMAP  yang diwakili kumpulan tarian Sutramaya terdiri daripada pelajar berbangsa Siam, Iban, orang Asli, Cina, India dan Melayu itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM600 selain turut meraih anugerah Busana Terbaik.

Pengarah Unit Kebudayaan dan Rekreasi UniMAP, Mohd Izwan Izhar Haris berkata kumpulan Sutramaya menjalani latihan selama tiga minggu sebelum menyertai festival berkenaan memandangkan ahli kumpulan itu terdiri daripada pelajar pelbagai kursus pengajian,

Katanya, Sutramaya turut mendapat bimbingan dan latihan dari semua staf UKR sendiri termasuk Terry Junas sebagai Kareografer dan Libren Francis sebagai pegawai pengiring mereka.

“Ini adalah kejayaan pertama UniMAP di peringkat MAKUM walaupun sekadar meraih tempat ketiga tetapi ia memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada semua ahli kumpulan bagi menghadapi pertandingan lain di masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Festival Tari 1 Malaysia yang berlangsung mulai 20 hingga 22 April itu turut menyaksikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih tempat pertama termasuk memperolehi Koreografi Terbaik serta Persembahan Terbaik diikuti UUM di tempat kedua manakala Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menarik perhatian juri dengan meraih Anugerah Khas Juri.

 

Produa Akan Keluar Model Baharu

Padang Besar, 17 April- Perusahan Automobil Kedua (Perodua) merancang mengeluarkan beberapa model baharu kenderaan jimat minyak (EEV) untuk terus kekal bersaing dalam segmen kereta kompak menerusi  rancangan lima tahun 2017-2021.

Pemangku Pengurus Besar Kanan Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Mohd Saifuzzaman Mohammad berkata perancangan juga bagi memenuhi permintaan ke atas kereta kompak jimat minyak dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak boleh bagi tahu (model yang akan dikeluarkan) sekarang kerana ini strategi perniagaan, namun model-model baharu ini akan lebih berkualiti,  murah, lancar dan jimat minyak," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat penyerahan rasmi lima unit mesin perkomputeran (CNC) terpakai pembuatan engin kereta kepada Universiti Malaysia Perlis (Unimap), yang diterima oleh Naib Canselornya, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Kampus Uniciti, Sungai Chuchuh di sini, hari ini.

Mohd Saifuzzaman berkata pemilihan model Bezza yang meneirma penarafan lima bintang ASEAN NCAP baru-baru ini dan model Axia yang mendapat sambutan hangat pembeli, akan dipertingkatkan.

Mengenai CNC yang disumbangkan itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang fungsi asas mesin tersebut dalam industri automotif,  relevan untuk satu jangka masa yang agak panjang.

"Kami telah memiliki beberapa mesin baharu bagi mengeluarkan model baharu, namun mesin ini sangat berguna untuk tujuan pendidikan kerana pelajar dapat meyesuaikan diri dengan bidang yang diceburi kelak," katanya.

Menurut Mohd Saifuzzaman harga mesin baharu  antara RM800,000 dan  RM1.3 juta seunit dan tapi bagi harga terpakai termasuk kos penghantaran, hanya RM330,000.

Sementara itu Zul Azhar berkata hubungan strategik UniMAP-Perodua sejak lima tahun lepas telah meningkatkan nilai kebolehpasaran graduannya selain mereka dapat menjalani latihan praktikum dalam suasana sebenar industri automotif.

"Cara ini akan melahirkan graduan yang holistik, relevan dan kompeten kerana keupayaan mereka menerap nilai-nilai yang diperlukan oleh industri menerusi latihan amali," katanya" katanya.

Zul Azhar mencadangkan syarikat automotif menjalin kerjasama lebih erat dengan UniMAP bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan. – Bernama

 

UniMAP Ungguli Pertandingan Nyanyian Anjuran Perlisfm Lima Tahun Berturut-Turut

Kangar, 1 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengekalkan kejuaraan lima tahun berturut-turut pada pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) PerlisFm.

Penyanyi UniMAP yang juga staf di Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR), Mohd Hafedz Halim yang mendendangkan lagu Mustika nyanyian asal M. Nasir berjaya menarik perhatian juri sekaligus meraih kejuaraan di pertandingan yang diadakan di Dewan 2020 itu, di sini.

Pengarah UKR, Mohd Izwan Izhar Haris berkata, kejayaan tersebut merupakan kejayaan kali kelima semenjak menyertainya mulai tahun 2013 iaitu di Pertandingan  Nyanyian Lagu 60-an dan Nyanyian Lagu 70-an Dalam Loghat Utara.

“Ia diikuti Pertandingan Nyanyian Lagu 60-an Dalam Loghat Utara pada 2014 yang dijuarai Syamsyuhaida Sabri. Selain Hafedz, seorang lagi staf UKR iaitu Norefendy Ghazali turut tersenarai sebagai finalis pertandingan pada tahun ini yang diadakan sempena Ulangtahun RTM ke-71 itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hasil kemenangan, Hafedz berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala.

Menurut Mohd Izwan, UKR sentiasa aktif menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian samada di peringkat negeri mahupun kebangsaan bagi memberi pendedahan yang luas kepada kakitangannya.

“Selain pertandingan, kami juga kerap mengadakan persembahan di majlis-majlis dalaman dan luar UniMAP termasuk persembahan muzik dan tarian,” katanya.

 

Amalan Komunikasi Penting Dalam Menjamin Kejayaan Organisasi

Pauh Putra, 7 April - Pendekatan komunikasi yang baik dalam sesebuah jabatan mampu memacu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk mencapai hasrat dalam usaha menjadi 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata komunikasi dalaman yang baik akan memudahkan sesuatu maklumat atau hasrat sesebuah organisasi dilaksanakan mengikut piawaian universiti.

“Setiap ketua jabatan haruslah memainkan peranan penting untuk memastikan staf memahami tugas dan tanggungjawab yang diberikan dan mampu bekerja dalam sebuah pasukan.

“Sebarang perselisihan pendapat haruslah dibincang secara profesional supaya keputusan yang dibuat adalah yang terbaik dan setiap individu perlu menghormati keputusan tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Naib Canselor dengan Barisan Pengurusan Tertinggi di Peringkat Jabatan/PTj sesi 2017-2019.

Sempena majlis berkenaan turut diadakan bacaan ikrar barisan pengurusan tertinggi berkenaan yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan , Dr. Nik Noriman Zulkepli.

Dr Zul Azhar berkata, lantikan barisan pengurusan tertinggi kali ini telah melalui proses yang teliti yang menekankan dari segi pengetahuan, pengalaman dan hala tuju serta masa depan setiap organisasi dan jabatan

“Lantikan ini telah berkuatkuasa pada 1 Mac 2017 hingga 28 Febuari 2019, melibatkan 131 staf dengan pecahan peratusan diantara 51 peratus staf lelaki dan 49 peratus adalah staf perempuan,” katanya.

Selain itu, Dr Zul Azhar juga menekankan agar setiap individu yang dilantik supaya sentiasa mempunyai tenaga, integriti dan pengetahuan yang tinggi agar mampu menjadi contoh yang baik kepada staf dan mahasiswa.

 

Bank Rakyat Rai Kanak-Kanak Autistik Sempena Bulan Kesedaran Autisme

ARAU, 26 Mac (Bernama) -- Bank Rakyat menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) hari ini meraikan Pengerusinya Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata program tersebut dianjurkan sempena kedatangan Bulan Kesedaran Autisme pada April serta bersesuaian dengan fokus Bank Rakyat sepanjang tahun ini untuk pembangunan kanak-kanak autisme.

"Bank Rakyat komited dengan pelbagai program khusus untuk golongan kanak-kanak ini bagi memastikan perkembangan mereka terus positif selain meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai tentang autisme.

"Bantuan kewangan sahaja tidak begitu memberi impak kesedaran, untuk itu perlu ada aktiviti yang melibatkan orang ramai agar mereka turut memahami mengenai autisme yang masih rendah tahap kesedarannya di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai 'Bank Rakyat A-HEART Rainbow Walk' sejauh 2 kilometer yang turut disertai 1,398 peserta termasuk anak yatim dan pelajar universiti itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Shukry berkata program tersebut juga antara lain bagi mengumpul dana untuk keperluan dan kelengkapan pendidikan di Pusat Autisme A-HEART UniMAP agar golongan istimewa ini berpeluang membina kemahiran dan menonjolkan bakat mereka di pusat itu.

Bank Rakyat juga akan menganjurkan pelbagai program seumpamanya serta pelbagai program CSR sebagai tanda sokongan kepada golongan autisme di seluruh negara sepanjang bulan April nanti, tambahnya.

-- BERNAMA