Menu
You are here: About UniMAPVice Chancellor's Keynote address Feb 2013

UCAPTAMA TAHUNAN NAIB CANSELOR 2013 

AMALAN BERTINDAK, HASILAN BERIMPAK

Mukadimah

Sesungguhnya segala puji ialah hak Allah (s.w.t) Tuhan sekalian alam. Kita memuji-Nya, memohon pertolongan dan keampunan hanya daripada-Nya. Marilah kita memohon perlindungan-Nya daripada segala kejahatan dan kesesatan jiwa, akal dan amal.

            Allah berfirman:

Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal dan terus-menerus mengurus (Makhluk-Nya); tidak Dia mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya segala yang di langit dan di bumi. Siapakah yang berupaya memberikan syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan apa saja yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan, Allah tidak berasa berat memelihara kedua-duanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Al-Baqarah: Ayat 255).

Sesungguhnya, tiada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Kita bersaksi bahawa Muhammad bin Abdullah (s.a.w) ialah hamba dan Rasul-Nya. Mudah-mudahan segala rahmat dan kesejahteraan sentiasa dilimpahkan oleh Allah (s.w.t) kepada Baginda Rasulullah (s.a.w), dan keluarga, para sahabat dan umat Baginda yang meneruskan dakwah; mengakuri segala perintah-Nya serta menjauhkan segala larangan-Nya.

Selamat menyambut ulang tahun ke-11 Universiti Malaysia Perlis.

Saya berdoa agar apa jua yang telah dan akan kita laksana untuk membangunkan UniMAP sentiasa mendapat petunjuk, keredhaan dan keberkatan daripada Allah (s.w.t).

Sejak memimpin UniMAP, kata-kata ‘cemerlang’ ‘gemilang’ dan ‘terbilang’ sentiasa menguasai fikiran saya. Saya obses agar makna suci kata-kata itu sentiasa terkait dan dikaitkan dengan UniMAP. Meski pada hari-hari yang telah berlalu; meski pada masa dan ketika ini; meski pada hari-hari yang bakal menjelang; malah biarlah selama-lamanya ciri-ciri ‘cemerlang’ ‘gemilang’ dan ‘terbilang’ terpahat pada UniMAP dan seluruh warga kerja tanpa pudar. Dengan ciri-ciri ini menjadi kulit pembalut setiap inci tubuh; dan menjadi penebat pembuluh setiap titik darah warga kerja UniMAP, saya mengidamkan UniMAP menjadi pemimpin dunia keilmuan yang dapat diumpamakan sebagai: 

Kayu besar di tengah padang;

Rimbun daunnya tempat berteduh,

Kuat dahannya tempat bergantung,

Kukuh batangnya tempat bersandar,

Besar akarnya tempat bersila,

[Masam dan manis buahnya menjadi ubat]. 

Saya mengidamkan produk UniMAP banyak kegunaan dan besar manfaatnya: 

Bagaikan kayu besar yang tumbang;

Dibilang-bilang menjadi tiang,

Ditarah-tarah menjadi rumah,

Diukir-ukir menjadi hiasan,

Diraut-raut menjadi tempat berpaut,

Terlepas ke laut menjadi sampan,

Tersembam ke bumi menjadi titi.

 

Begitulah idaman saya kepada UniMAP selama ini; universiti yang sentiasa melebarkan sayap sumbangannya untuk kebaikan masyarakat setempat dan sejagat, sementara siswazahnya pula sentiasa dapat memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara.  

Alhamdulillah kali ini merupakan kali kesebelas saya berdiri di sini dalam ritual Ucaptama Tahunan Naib Canselor (UTNC). Meskipun telah sebelas kali berkongsi visi; telah sebelas kali mencuba memetakan lenggok degup jantung dan denyut nadi kecemerlangan di setiap organ yang membina universiti ini; dan telah sebelas kali menitipkan ramuan ampuh pelbagai sikap sakral yang wajar berakar umbi menguliti tubuh universiti ini, namun pada kali ini saya berasa terpaku seketika. Yang bermain dalam benak saya ialah persoalan dan isu apakah lagi yang perlu saya kongsikan dan titipkan dalam ritual kali ke-11 ini. 

Rasanya sudah banyak ramuan yang telah dijamu dalam ritual tahunan ini. Justeru, apakah lagi yang diharapkan dan didambakan? Hasrat hati hendak berkongsi ramuan baru, tetapi akal bertanya: sudahkah ramuan lama yang dijamu dikunyah selumat mungkin sehingga menimbulkan minat dan nikmat? Sudahkah juadah lama yang dihidangkan dihadamkan semua ketua jabatan dan staf sehingga terserap mantap dalam pembuluh setiap amal dan tindakan? Oleh sebab itu, jika saudara-saudara mengharapkan isi kandungan UTNC pada kali ini mengenengahkan ramuan baru belaka, usahlah saudara-saudara berasa kecewa. Saya mengambil sikap bahawa sesuatu yang baik dan positif perlu diulang-ulangkan. Amat tinggi harapan saya agar yang diulang-ulangkan itu akan terserap ke dalam jiwa, hati dan akal. Ahli falsafah China, Lao Tze pernah mengucapkan: 

Ladenilah pemikiran, tercetuslah gagasan;

Cermatilah gagasan, terbitlah tindakan;

Tekunilah tindakan, terpancarlah amalan;

Perhalusilah amalan, terbinalah perwatakan;

Hayatilah perwatakan, terpahatlah takdir ketentuan.

 Amat besar impian saya agar yang terserap ke dalam jiwa, hati dan akal itu menjadi resam dan kebiasaan. Saya amat obses untuk melihat agar resam dan kebiasaan positif diterjemah oleh semua staf menjadi tingkah laku; dan tingkah laku positif diamalkan secara berterusan oleh semua warga kerja UniMAP. 

Saya yakin jika semua usul, pandangan, nasihat dan teguran telah dijadikan pengajaran dan panduan, jika semua usaha dilaksana secara bersungguh; insya-Allah semua perancangan akan menjadi ringan. Saya yakin jika semua pelan tindakan atau inisiatif telah dilaksana seperti yang dirancang dan diusahakan dengan seriusnya, objektif strategik sama ada yang terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) atau Pelan Strategik UniMAP yang disepakati bersama, dapat dicapai. Saya mengucapkan tahniah kepada semua ketua teras strategik, Ketua CAP, dekan, ketua jabatan dan staf yang telah mencapai dan membantu mencapai sasaran yang ditetapkan. 

Demi mempermantap objektif pelan strategik UniMAP 2011-2015, insya-Allah, dalam jangka masa terdekat kita akan menyemak semula semua penunjuk prestasi dan mengusulkan serta menyepakati inisiatif-inisiatif baru untuk dilaksana oleh semua jabatan, pusat pengajian, pusat dan unit bagi meningkatkan prestasi kita UniMAP ke tahap yang lebih tinggi. Melalui pendekatan ini saya amat berharap agar misi universiti akan terisi secara maknawi; dan visi universiti akan menjadi realiti apabila sampai masa dan ketika yang kita tetapkan bersama. 

AMALAN BERTINDAK 

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian. 

Saya berasa amat bersyukur kerana Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2011 (SETARA ‘11) menarafkan UniMAP sebagai universiti Tier 5. Daripada universiti tier 3 tahun 2007, tier 4 tahun 2009, kini, UniMAP diiktiraf sebagai Universiti Tier 5 atau Universiti Cemerlang. Meskipun penilaian Malaysian Research Asessment (MyRA) meletakkan kita di tangga Tier 3 dari Tier 4 berdasarkan data 2010, namun hati yang kecewa terubat juga dengan berita penarafan Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (D-SETARA) yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri baru-baru ini. Di bawah D-SETARA (Disiplin Kejuruteraan) UniMAP diiktiraf sebagai Universiti Tier 5 atau Universiti Cemerlang sekali lagi. Berdasarkan data 2011 yang dikemukakan ternyata kita telah meningkatkan prestasi UniMAP dalam banyak aspek penilaian sistem-sistem penarafan itu.  Syukur alhamdulillah. Tahniah kepada semua warga UniMAP yang telah menganyam suatu impian menjadi kenyataan. Jika saudara-saudara masih ingat, dalam pelan strategik 2008-2010 termaktub komitmen kita untuk menjadikan UniMAP universiti cemerlang dalam konteks penilaian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui SETARA.           

Apa pun, dalam eksersais akan datang saya menyasarkan Tier 6 pula. Saya yakin kita semua mahu menjadikan UniMAP universiti Terbilang di dalam negara. Dengan kurang daripada 10 peratus untuk menjadikan UniMAP universiti terbilang, jika semua memainkan peranan dengan tekun dan dedikasi, tiada tembok yang tidak dapat diruntuhkan. Saya percaya untuk mencapai hasrat ini tembok yang mengepung kemahuan hati dan akal untuk lebih maju perlu dirobohkan terlebih dahulu. Kita perlu merobohkan semua tembok yang menghalang daripada menjadi universiti terbilang. Dalam UTNC tahun lalu kita telah mengangkat tema ‘Sedekad Cemerlang, Bertekad Terbilang’. Kini sudah sampai masanya kita merangkakan dan melaksana inisiatif-inisiatif baru untuk menjadi terbilang di dalam negara. BERTINDAK-lah dari sekarang. Usahlah bertangguh lagi kerana masa umpama mata pedang. Jika mata pedang itu tidak dimanfaatkan, maka mata pedang itulah yang akan menghiris hati kita hingga luka berdarah. Yang luka, jika dibiarkan tanpa dirawat akan menjadi parah dan akhirnya bernanah. Yang amat saya takuti ialah yang bernanah merosakkan amanah yang dipertanggunjawabkan kepada kita semua.     

Saudara-saudara yang saya kasihi, 

Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang terbilang, biarlah keterbilangan UniMAP terhidu di seluruh pelosok dunia juga seperti harumnya nama universiti-universiti tersohor di peringkat global. Bertekad untuk menjadi terbilang pastinya perlu disusuli oleh sikap mental, tingkah laku dan tindakan yang terbilang juga. Tiada cara mudah untuk menggapai sesuatu yang tinggi. Apatah lagi yang terlalu tinggi. Justeru, tindakan yang lebih progresif dan strategik perlu dilakukan.           

Ambil University of Cambridge yang ditubuhkan 804 tahun dulu sebagai contoh. Mari kita belajar cara universiti ini berusaha mengekalkan ketersohoran dan daya saingnya. Dalam ucapan tahunan tahun lalu Naib Canselornya, Prof. Leszek Borysiewicz antara lain menyebut, “Competition...goes to the very heart of our mission.” Mengapa universiti sehebat itu masih mahu bersaing lagi? Jawab Naib Canselor ini, “Competition makes you run faster.” Rupanya universiti berdaya saing yang semakin tua itu mahu berlari lebih pantas daripada kepantasan semasa untuk mengekalkan daya saingnya. “We aim to be the best,” tegas beliau. Untuk menjadi terbaik, beliau menasihati warga Cambridge supaya “...never compromising on excellence....” Begitulah paradigma Naib Canselor baru University of Cambridge. Kata ‘excellence’ atau ‘kecemerlangan’ menjadi kata sakti pilihan beliau untuk memastikan Cambridge menjadi universiti terbaik dalam persaingan di peringkat dunia. Dan, untuk memastikan Cambridge sentiasa relevan dalam persaingan itu, beliau menegaskan dan menggesa kakitangan Cambridge supaya “jangan bertolak-ansur” untuk mencapai kecemerlangan. Apabila saya membaca ungkapan ini, meluncur laju lidah menyebut: “UniMAP sejak ditubuhkan sudah menjadikan kata keramat ‘kecemerlangan’ sebagai nilai terasnya. Hampir saban hari kami mendendangkan kata ini dalam ‘Wawasanku’ dan ‘Sedekad Gemilang’.” Di sudut hati, saya percaya dan meyakini, “We are on the right track!

Hakikatnya, setakat manakah kecemerlangan telah mendarah daging atau membudayai setiap hela nafas dan gerak langkah kita semua sebagai warga Universiti Malaysia Perlis?    

Demi mengekalkan daya saing dan kecemerlangan Universiti of Cambridge, Naib Canselor itu menggesa kakitangannya supaya memberikan “...personal commitment and self-sacrifice,” dan memiliki “...world-class ability,” selain daripada menyepakati, “...a shared vision and, above all, ambition to achieve...goals.” Begitulah paradigma Naib Canselor universiti tersohor peringkat dunia. Saya pasti hasrat itu jugalah yang dimiliki oleh semua naib canselor atau presiden universiti di seluruh dunia termasuk saya sendiri. Bait-bait kata inilah yang menjadi rempah ratus dan intisari UTNC yang saya tiupkan ke dalam corong telinga hati saudara-saudara sejak tahun 2002 lagi.             

Saudara-saudara, 

Tahukah apakah tindakan yang dilakukan oleh universiti yang berada dalam kelompok pemeringkatan tertinggi carta liga pemeringkatan universiti dunia ini untuk kekal bersaing? Naib Canselor itu mengusulkan tiga jawaban, “First, Cambridge needs to grow. Second, we need to change; and third, we need to ensure that growth and change are informed at every step by our values, our principles, and by the spirit and ambition that have seen us flourish for our first eight centuries.”           

University of Cambridge perlu berkembang? Apa lagi yang hendak dikembangkan oleh Cambridge setelah berada dalam kelompok elit liga pemeringkatan dunia? Dalam ucapan tahunannya pada 1 Oktober tahun lalu itu, Prof. Leszek Borysiewicz menjelaskan bahawa dalam masa 50 tahun kebelakangan, Cambridge tidak henti-henti berkembang dan berusaha mengembangkan sayap perkhidmatannya kepada dunia. Untuk terus memantapkan penyelidikannya ke tahap “...‘the highest international levels of excellence’,” Cambridge merancang untuk,”...increase the numbers of postgraduate students and postdoctoral researchers...[and] to sustain active research programmes,” yang dianggap oleh beliau sebagai “key to our future academic development and competitiveness....” Seterusnya beliau menyambung, “We must compete strenuously to attract the very best of [international students] here, and to offer them the very best environment within which they can thrive.” Di peringkat universiti, itulah yang dirancang oleh Cambridge. Sementara di peringkat pelaksanaan Prof. Borysiewicz menjelaskan, “All six of our Schools have explicit plans as to how that will be achieved.” Buat seketika saya terhenti membaca teks ucapan itu kerana terpikat dengan kata ‘strenuously’ yang digunakan oleh beliau. 

Saya faham bahawa epal perlu dibandingkan dengan epal, bukan rambutan. Pada hemat saya, jika Cambridge pun memahami konsep ‘perkembangan universiti’ daripada sudut yang disebut itu, maka itulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh universiti muda untuk bersaing dengan mereka. Malah, universiti muda perlu melakukan yang lebih banyak lagi secara lebih kreatif dan progresif. Hal yang dilaksana oleh Cambridge Itu berupa inisiatif fundamental yang dilaksana oleh semua universiti. Tiada yang luar biasa. Hanya, di peringkat kita yang masih bertatih, kita buatlah mengikut kapasiti dan keupayaan yang ada. Atau, guballah objektif dan inisiatif berdasar pada analisis kekuatan/kelemahan dan peluang/ancaman yang melatari universiti kita. 

Sebagai contoh, setelah merujuk instrumen dan pencapaian SETARA atau MyRA, dimensi yang manakah -- dimensi input (sama ada tatakelola, sumber kewangan dan fizikal, atau pengurusan bakat) atau dimensi proses (sama ada kurikulum atau penyampaian kualiti) atau dimensi output (sama ada kualiti siswazah, kualiti penyelidikan, kepuasan siswazah atau kepuasan majikan) -- yang perlu kita tambah baik? Atau yang wajar kita permantap dan perkukuhkan? Atau yang wajib kita perbetul? Setelah dikenal pasti darjah pengembangan atau penambahbaikan atau pembetulan yang perlu dilaksana, maka kita perlulah BERTINDAK merancang strategi, taktik dan inisiatif baru untuk melonjakkan prestasi. Perhatikan slaid pencapaian UniMAP berdasarkan instrumen SETARA ’11 yang dipaparkan.

 

Jadual Pencapaian UniMAP Mengikut Domain SETARA ‘11

UniMAP

MARKAH

MARKAH PENUH

PENCAPAIAN   BERDASARKAN INDIKATOR (%)

Jumlah

78.06

100.00

78.06

Input: Tabdir Urus

11.17

12.00

93.1

Input: Sumber Fizikal dan   Kewangan

2.53

3.00

84.3

Input: Bakat (Kualiti, Pengalaman   dan Kepelbagaian)

3.00

5.00

          

                   
     
     

60.0

     
     

        

 

Proses

34.42

40.00

86.1

Output: Kualiti Graduan dan   Kepuasan Graduan

26.93

40.00

          

                   
     
     

67.3

     
     

        

 

 

Pada data yang dilingkungi bulatan merah itulah yang mesti kita tingkatkan prestasinya untuk memungkinkan kita menjadi universiti terbilang di dalam negara pada tahun 2015. Semua warga kerja perlu memberikan sumbangan idea, masa dan tenaga masing-masing untuk melonjakkan prestasi universiti dalam aspek-aspek yang telah dikenalpasti, jika benar saudara-saudara menghargai kewujudan universiti ini. Untuk mencapai hasrat ini semua warga UniMAP perlu memerah otak dan keringat. Untuk mencapai hasrat ini semua warga UniMAP perlu mensinergikan tenaga. Untuk mencapai hasrat ini semua warga kerja UniMAP perlu mengorbankan masa yang lebih kerap dan banyak.       

Barangkali ada yang mahu bertanya apakah sifat-sifat yang diperlukan untuk melonjakkan prestasi diri dan UniMAP? Untuk menjawab soalan ini saya menyarankan agar saudara-saudara membuka, membaca dan menelaah UTNC 2011 dan/atau buku-buku lain yang berkaitan. Saya amat berharap huraian-huraian positif yang terkandung di dalam UTNC 2011 dan yang sebelumnya dan/atau buku-buku yang dirujuk diamalkan dengan ikhlas dan serius untuk melonjakkan komitmen dan prestasi diri dan universiti. Semua ini dituntut jika saudara-saudara benar-benar bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada elemen yang membina universiti – yang menurut sesetengah kalangan “universiti yang disayangi” ini. Tanpa pengorbanan hanyalah angan-angan semata-mata.  

Saudara-saudara yang saya kasihi sekalian, 

Tiada perjuangan yang tidak diduga dengan halangan yang menjadi tembok impian. Justeru, di universiti ini apabila kita berhadapan dan mencuba mengatasi apa jua halangan yang merintangi, kita perlulah menghadapi dan mengatasinya dengan lebih kreatif, inovatif, cekap, dan berkesan. Kita perlu menggunakan strategi yang lebih ampuh, lebih pintar dan berlari lebih pantas daripada Cambridge untuk mendekatkan jarak jurang reputasi. Sebaliknya, jika kita masih berstrategi dan berlari dengan kepantasan yang sama yang kita lakukan sekarang, sampai bila pun jarak jurang itu akan kekal pada tahap semasa selama-lamanya. Saya pernah, malah selalu menggesa seluruh warga UniMAP supaya menghayati dan mengamalkan konsep ‘differentiation’.  Saya selalu menggesa saudara-saudara berfikir secara ‘gila-gila’. Saya selalu meminta saudara-saudara melakukan sesuatu yang berbeda daripada apa yang telah dilakukan oleh orang atau institusi lain. Namun, sekerap manakah kita telah berkongsi buah fikiran yang ‘gila-gila’? Sebanyak manakah kita telah menghasilkan tindakan yang ‘gila-gila’ juga? Sesungguhnya, saya percaya pada peribahasa: di mana ada kemahuan, di situ ada jalan; di mana ada jalan, di situlah kemahuan ditumpukan; asalkan jalan itu jalan yang benar untuk kebaikan diri, institusi dan manusia seluruhnya.           

Jika saudara-saudara masih berasa bahawa Cambridge terlalu hebat untuk dijadikan penanda aras, cuba-cubalah pula membuat pembandingan dengan universiti-universiti tersohor di rantau ini. Ketua-ketua Jabatan telah ke Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS) pada hujung tahun lalu. Banding-bandingkanlah pencapaian, strategi, taktik, inisiatif dan data yang telah dikongsikan oleh mereka. Amatilah slaid yang dipaparkan dan fahamilah di mana ‘ketinggian’ dan ‘kehebatan’ kita di sisi NTU.

 

Jadual Data Transformasi NTU 2005-2012

Indikator

Tahun 2005

Tahun 2012

Enrolmen pelajar

26, 000

34, 100

Enrolmen pelajar prasiswazah

18, 400

24, 100

Peratus (%) pelajar A-level yang mendapat 3A yang diterima masuk ke NTU

11%

25%

Enrolmen penuntut Ph.D

1, 662

3, 300

Geran penyelidikan yang kompetetif

SD 82 juta

SD 369 juta

Bilangan fakulti sepenuh masa

900

1, 200

Bilangan staf penyelidik

810

1, 910

Bilangan penerbitan per fakulti

1.9

2.8

Peningkatan sitasi per fakulti sepenuh masa

11.0

51.5

Sitasi per penerbitan

1.98

(2001-2005)

5.31

(2008-2012)

Bilangan paten

72

276

 

Cuba pelajari taktik dan inisiatif pengantarabangsaan, penyelidikan, penjanaan kewangan atau persekitaran universiti-universiti itu yang serba kondusif. Pelajarilah cara NTU dan NUS meyakinkan kerajaan Singapura untuk membiayai skim CREATE. Dalam masa yang sama mereka berupaya memasarkan jenama mereka sehingga University of Cambridge bersedia memberikan kerjasama untuk melaksana apa yang disebut sebagai ‘Inisiatif Tenaga’ di bawah skim itu. Pelajarilah cara NUS mengumpulkan diaspora China di seluruh dunia yang menjadi Nobel Laureate untuk menyumbangkan fikiran dan tenaga di universiti mereka di bawah Institute of Advanced Studies. Banyak yang wajar kita pelajari daripada mereka. Setelah meninjau dengan mata kepala sendiri perkembangan NTU dan NUS, fikirkan dan laksanalah apa-apa taktik dan inisiatif yang sesuai dengan mengambil kira keperluan, kapasiti dan keupayaan kita. Yang penting bagi saya ialah saya, saudara-saudara, dan warga UniMAP seluruhnya mesti segera bangun BERTINDAK

Jika NTU dan NUS juga terlalu hebat untuk disaingi, baliklah ke dalam negara. Tinjau-tinjaulah apakah yang dilakukan Universiti Malaya (UM) untuk menjadi universiti yang tersohor di dalam dan di luar negara. Jika Naib Canselor UM berkata, “...needs excellent brains to succeed,” kita mesti mencari ‘the best excellent brains to succeed.’ Jika UM mahu menyuburkan “World class academic culture,” kita wajib memupuknya ke tahap yang lebih berkelas. Jika UM mahu menganggap “Innovativeness, entrepreneurship, risk-taking and hardwork is crucial,” kita mesti mempersepsi nilai-nilai itu dua atau tiga kali lebih penting; lebih crucial. Jika UM “Always believe in the impossible,” mari kita ‘do the impossible.’ Jika Naib Canselor UM mengatakan, “Universities must change to survive,” saya mengatakan ‘change is not an option for survival.’ Bangunlah UniMAP, bangun BERTINDAK. UniMAP sudah berumur 11 tahun. UniMAP bukan baru. UniMAP bukan sahaja sudah mampu berlari, malah perlu berlari lebih pantas berbanding dengan universiti lain jika mahu bersaing seperti yang disepakati dalam visi dan misi universiti. Mari kita menjadikan sifat suka BERTINDAK sebagai AMALAN bersama dan sepunya.  

Saudara-saudara yang dikasihi sekalian.

Membangunkan organisasi adalah umpama bermain bola sepak. Apabila kapten pasukan telah membuat sepak mula, bola tidak boleh sentiasa di kakinya. Bola perlu dikuis, ditolak, ditendang atau disepak kepada pemain sepasukan yang lain. Semasa ketua pasukan atau rakan sepasukan membawa bola atau menggelecek pemain-pemain lawan, rakan-rakan sepasukan yang lain perlu sentiasa bersiap siaga untuk menerima umpanan sebelum membuat gerakan dan tindakan lanjutan. Bola boleh sampai ke kaki kita pada bila-bila masa untuk kita bertindak mengikut strategi dan taktik yang dirancangkan lebih awal. 

Permainan bola sepak atau acara sukan berpasukan memerlukan pelibatan dan kerjasama semua pemain secara serius dan bersungguh-sungguh. Misalnya, di Cambridge, setelah universiti menetapkan strategi persaingan, pelaksanaannya di semua peringkat digerakkan. Semua staf – akademik, pentadbiran atau sokongan -- perlu BERTINDAK. Prof. Borysiewicz menjelaskan bahawa “All six of our Schools have explicit plans as to how [the game plan] will be achieved.” Bukan sekadar pusat pengajian, malah semua jabatan, pusat dan unit – yang menjadi pemain dalam universiti ini – wajib BERTINDAK dengan merangkakan strategi, sasaran dan inisiatif masing-masing untuk menyangga strategi universiti. Jika nasihat atau teguran ini tidak dilaksana, maka tunggulah impak yang tidak kita ingini yang bakal menyusuli nasib universiti ini pada kemudian hari.   

Oleh sebab itulah saya melihat bahawa gesaan Naib Canselor University of Cambridge, “We need to change,” atau pandangan Naib Canselor Universiti Malaya, “Universities must change to survive,” amat tinggi nilai logik dan keperluan mendesaknya. Kita tiada pilihan. Kita perlu berubah. Kita perlu berubah bukan kerana Naib Canselor University of Cambridge atau Naib Canselor Universiti Malaya mengatakan kita perlu berubah, tetapi kita perlu berubah kerana sikap yang sentiasa mahu berubah daripada baik menjadi cemerlang; daripada cemerlang menjadi terbilang, menjadi prasyarat bagi sesebuah organisasi atau institusi jika memilih untuk berkembang secara positif dan progresif. Gesaan supaya UniMAP berubah telah acap kali saya suarakan. Teks UTNC 2010 satu daripada buktinya. Sejak tahun itu apakah perubahan yang berimpak yang telah kita lakukan? Jika panjang senarainya untuk dijadikan jawaban kepada pertanyaan retorik saya, apa lagi yang perlu kita lakukan untuk menambahkan bilangan dalam senarai itu untuk dijadikan tindakan mulai tahun ini? 

Kita sama-sama faham bahawa perubahan tidak boleh statik dan negatif. Ada banyak sikap dan tindakan yang negatif yang perlu kita ubahkan menjadi positif. Ada banyak perubahan positif yang perlu kita gandakan saban masa. Perhatikan sekali lagi data yang dikutip dalam lawatan kerja ketua-ketua jabatan ke NTU (rujuk Data transformasi NTU 2005-2012). Dalam masa lima tahun perhatikan lonjakan yang dibuat oleh universiti itu. Saya yakin bahawa semuanya bermula dengan strategi dan akhirnya apa jua yang telah ditetapkan disambut oleh semua staf dengan cara BERTINDAK untuk menjadikan NTU antara universiti tersohor di Asia sama ada dalam senarai QS World University Rankings atau Times Higher Education World University Rankings.    

Untuk sampai ke peringkat itu, NTU berkembang dalam semua aspek: kuantiti program dan kualiti akademik; kuantiti dan kualiti penyelidikan yang berimpak; kualiti hubungan antarabangsa dan industri; kualiti pengantarabangsaan; kualiti infrastruktur dan infostruktur serta persekitaran; penjanaan kewangan untuk penyelidikan, endowmen untuk pembangunan dan kebajikan dan sebagainya. Aspek-aspek inilah yang saya berikan penekanan selama lima tahun kebelakangan ini. Bagaimana mereka melakukannya? Saya yakin mereka BERTINDAK dengan ‘strenuously’ seperti yang ditegaskan oleh Naib Canselor Cambridge University dalam ucapan yang dirujuk tadi. Mereka BERTINDAK dengan akal dan tindakan yang progresif (sila rujuk UTNC 2008); mereka BERTINDAK dengan usaha yang berlipat kali ganda; dan mereka BERTINDAK dengan tenaga yang dinamik (sila rujuk UTNC 2009).  

Saudara-saudara, Naib Canselor University of Cambridge berkata, untuk memastikan Cambridge berkembang seperti yang dirancang, maka Cambridge, “...need to ensure that growth and change are informed at every step by our values, our principles, and by the spirit and ambition....” Berdasarkan penyataan ini, sekali lagi, saya berkeyakinan bahawa daripada segi pendekatan mahu bersaing sesama universiti tidak banyak bedanya. Untuk bersaing, warga organisasi perlu berpegang pada nilai dan prinsip. Pelaksanaan sesuatu tugasan perlu dilakukan dengan penuh semangat dan minat. Setiap dasar dan keputusan perlu dikongsikan dengan semua warga supaya dasar dapat dilaksana dengan cermat, dan keputusan dapat diusahakan dengan cekap dan lancar untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Yang membedakan kita dengan universiti-universiti tersohor ialah kuantum, kuantiti dan kualiti tindakan untuk merealisasikan keputusan-keputusan yang ditetapkan. Tahap penghayatan mereka pada nilai, prinsip, dan profesionalisme bekerja amat tinggi. Mereka, khususnya para akademik, saya perhatikan mempunyai minat yang mendalam atau passionate apabila melakukan sesuatu. 

Ambil sahaja sejarah hidup Alfred Nobel (yang pernah saya kongsikan dengan saudara-saudara dalam UTNC 2009) sebagai contoh. Meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan dan kegagalan (bapanya jatuh muflis, peperangan, makmal terbakar, kesihatan yang sering terganggu, dimanipulasi rakan kongsi, gagal dalam percintaan, dan banyak lagi), namun Nobel tidak berputus asa hingga terciptanya dinamit setelah menemui nitrogliserin. Jika tahap nyalarasa (passion) tokoh itu sukar difahami kerana kita tidak mengenali beliau, jadikanlah Prof. Sir Anthony James Leggett yang pernah hadir di hadapan mata kita sebagai contoh. Pada umur 75 tahun masih larat terbang dari jauh untuk bersama kita. Pada umur itu beliau masih gagah dan bersungguh berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalamannya dengan kita lewat beberapa kuliah dan perbincangan tidak formal. Ternyata kehidupan Nobel dan Leggett  berfokus dan mempunyai nyalarasa yang amat tinggi pada cita-cita mereka. Berpesan Leggett kepada kita semua supaya, “Jangan mudah berputus asa.” Ringkas pesanannya, tetapi memerlukan pengorbanan untuk berjaya dengan cemerlangnya. Nilai-nilai pegangan ini bukan baru kepada kita. Lebih awal daripada mereka Nabi Muhammad (s.a.w) telah menunjukkan darjah nyalarasa yang lebih tinggi untuk melaksana amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Baginda. Tetapi mengapa kita tidak atau belum menjadi seperti mereka? 

Kita, sejak kecil, diajar supaya mengamalkan beberapa banyak prinsip suci dan mulia oleh agama. UniMAP pula berpegang pada nilai-nilai teras yang murni dan sakral yang sewajarnya telah mendarah daging. Tetapi mengapa ada dalam kalangan kita seolah-olah tidak berupaya menghadapi cabaran dengan pelbagai alasan. Barangkali yang kurang pada kita ialah penghayatan nilai-nilai murni dan sakral itu secara sedar dan serius. Barangkali nyalarasa kita tidak benar-benar bersemarak, malah mudah malap. Jika benar tanggapan saya ini, maka mari kita bersama-sama bermuhasabah untuk membaiki apa jua kelemahan diri demi meningkatkan daya juang masing-masing. Sesungguhnya daya juang saudara-saudara berkait secara signifikan dengan daya saing universiti ini.  

Saudara-saudara jika kita ikhlas dan berusaha bersungguh-sungguh atau strenuously untuk memikul tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada kita dengan semangat dan minat yang tinggi, insya-Allah, Allah akan mendengar rintihan kita. Allah akan menunjukkan jalan yang terbaik kepada kita untuk mengatasi semua permasalahan. Sebagai contoh, lima tahun dahulu kita mengatakan bahawa sukar mendapatkan dana penyelidikan antarabangsa. Tetapi tahun ini, insya-Allah, dana penyelidikan dari tanah Arab akan bertambah sekitar RM2 juta lagi. Kita ada beberapa banyak pensyarah kanan dan profesor di kluster penyelidikan atau pusat kecemerlangan yang wajar menonjolkan kepakaran masing-masing di peringkat antarabangsa untuk mendapatkan dana. Sesungguhnya saya berasa iri hati melihat data NTU. Geran penyelidikan kompetetifnya menjangkau angka USD300.68 juta!  Yang penting ialah kita berusaha, BERTINDAK, berdoa dan terus berusaha dengan bersemangat yang tinggi, minat yang bernyalarasa dan tindakan yang progresif. 

Di peringkat universiti, dalam usaha kita meningkatkan daya saing universiti, maka pada tahun ini kita akan menubuhkan Yayasan UNiMAP yang sedang diusahakan pemerbadanannya. Kita akan memanfaatkan Yayasan UniMAP untuk mengumpulkan dana sebanyak mungkin dalam apa jua bentuk yang diizini undang-undang. Dengan adanya dana ini dapatlah kita membantu melonjakkan aktiviti pembangunan, penyelidikan dan kebajikan mahasiswa. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai idea dan usul untuk mengisi tabung endowmen Yayasan UniMAP atau tabung-tabung lain yang bakal diciptakan silalah tampil ke hadapan memberikan kerjasama. Yayasan UniMAP dan UniMAP Holdings Sdn. Bhd. yang ditubuhkan tidak akan berkembang seperti yang diharapkan jika saudara-saudara tidak menyumbangkan gagasan, menghulurkan bantuan dan BERTINDAK menggunakan wahana-wahana yang disediakan. 

Kesimpulan saya setakat ini ialah, saya tegaskan sekali lagi, BERTINDAK-lah. BERTINDAK-lah untuk meningkatkan citra program akademik. Jika kita perlu membuat transformasi pada struktur program kejuruteraan, maka lakukanlah. BERTINDAK-lah untuk meningkatkan citra program penyelidikan. Jika kita perlu membuat transformasi pada struktur aktiviti penyelidikan, maka lakukanlah. BERTINDAK-lah untuk meningkatkan citra penjanaan kewangan. Jika kita perlu membuat transformasi pada pendekatan pemerolehan dan penjanaan dana, maka lakukanlah. BERTINDAK-lah untuk meningkatkan citra kualiti siswazah prasiswazah dan pascasiswazah yang menjadi hasilan segala usaha kita. Jika kita perlu membuat transformasi pada kaedah pembelajaran dan pengajaran, maka lakukanlah untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan yang menentukan tahap kualiti mereka. Dalam konteks ini nasihat Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi dalam Amanat 2013 yang mahu “Universiti tempatan...melakukan perubahan atau transformasi [yang] sesuai dengan peredaran zaman dan kehendak semasa agar tidak terkebelakang dan terperangkap dalam corak pemikiran yang sama dan kaku...,” mestilah diberi perhatian yang serius oleh warga universiti.   

Tindakan-tindakan penambahbaikan pada dimensi-dimensi yang saya sebut tadi memang menjadi keutamaan. Namun, sebagai institusi muda yang mempunyai kekurangan dalam pelbagai aspek, maka kita perlu juga berusaha dan BERTINDAK dengan lebih bertenaga untuk membuat penambahbaikan dalam dimensi-dimensi lain yang menentukan prestasi universiti. Philip G. Altbach dan Jamil Salmi (Editor) dalam dokumen The Road to Academic Excellence: The Making of World-class Research Universities terbitan The World Bank dalam tahun 2011 menyebut bahawa untuk meningkatkan prestasi, kita perlu menimbangkan penambahbaikan lapan dimensi yang mempengaruhi prestasi sesebuah universiti (sila rujuk Rajah Dimensi Ekosistem yang Mempengaruhi Prestasi Institusi Pengajian Tinggi). 

Rajah Dimensi Ekosistem yang Mempengaruhi

Prestasi Institusi Pengajian Tinggi

               
    
    

prestasi institusi pendidikan      tinggi

    
    

                                         

Diubahsuaikan daripada sumber: Philip G. Altbach dan Jamil Salmi (editor) (2011). The Road to Academic Excellence: The Making of World-class Research Universities. Washington D.C.: The World Bank. 

Kecuali dimensi lokasi, saya amat bersetuju agar dimensi-dimensi lainnya ditelaah dengan teliti supaya tindakan dapat dilaksana untuk mengatasi kekurangan dan kelemahan yang wujud. Saya amat berharap agar semua anggota pengurusan di setiap peringkat dapat membincangkan maklumat ini dengan staf masing-masing dan seterusnya merangkakan strategi, sasaran, dan inisiatif-inisiatif baru untuk melonjakkan prestasi UniMAP dengan mengambil kira strategi yang telah dirumuskan di peringkat universiti dan PSPTN. Dalam bahagian lain ucaptama ini saya akan memberikan beberapa sasaran yang perlu dilatakan (cascaded) kepada semua pusat pengajian dan jabatan-jabatan yang terlibat.

      
   
   

 Elements of the Main Dimensions of HEI Ecosystem   

  •     Macro environment:     the overall political and economic situation of a country, together with     the rule of law and the enforcement of basic freedoms, which influence, in     particular, the governance of tertiary education institutions (appointment     of university leaders), their level of funding, academic freedom, and     safety in the physical environment.  
  •     Leadership at     the national level: the existence of a vision and a strategic plan to shape     the future of tertiary education and capacity to implement reforms.   
  •     Governance and regulatory framework: the governance structure and processes at the national and     institutional levels that determine the degree of autonomy that tertiary     education institutions enjoy and the mechanisms of accountability they are     subject to (especially important from the viewpoint of the human resources     policies and management practices that allow emerging research universities     to attract and keep qualified academics).   
  •     Quality assurance framework: the institutional setup and the instruments in place for     assessing and enhancing the quality of research, teaching, and learning.   
  •     Financial resources and incentives: the absolute volume of resources available to finance     tertiary education in a country (mobilization of public and private     resources) and the mechanisms through which those resources are allocated     to various institutions.   
  •     Articulation and information mechanisms: the links and bridges between high schools and tertiary     education and the pathways and procedures integrating the various types of     institutions that constitute a tertiary education system, all of which     affect the academic characteristics of incoming students and their academic     results as they move through the tertiary education system.   
  •     Location: the quality     of economic, social, and cultural characteristics and infrastructures     available in the specific geographical setting of a tertiary education     institution that determine, in particular, its ability to attract     outstanding scholars and talented students; these characteristics include     public services, recreational amenities, housing, transportation, and     environmental quality…   
  •     Digital and telecommunications infrastructure: the availability of broadband connectivity and end-user     devices to support the delivery of educational, research, and     administrative services of tertiary education institutions in an efficient,     reliable, and affordable way.
      

Ekshibit Elemen Dimensi Utama Ekosistem IPT

 Sumber ekshibit: Philip G. Altbach dan Jamil Salmi (editor) (2011). The Road To Academic Excellence: The Making Of World-Class Research Universities. Washington D.C.: The World Bank, m.s. 336-337.

 

HASILAN BERIMPAK

Saudara-saudara, meskipun SETARA ’11 mengkategorikan kita sebagai Universiti Cemerlang, khususnya dalam aspek akademik, namun, seperti yang saya sebut tadi, kita tidak boleh leka atau terperangkap dalam jerangkap zon selesa. Dalam laporan awal kajiselidik tentang citra (image) dan reputasi UniMAP yang dilaksana oleh sekumpulan penyelidik UPM dan UniMAP yang diketuai oleh Prof. Dr. Ezhar Tamam baru-baru ini mendapati bahawa citra dan reputasi UniMAP dipersepsi ‘baik’ oleh responden yang terdiri daripada pihak berkepentingan UniMAP (sila rujuk Jadual Peratus Responden yang Mempersepsi Domain Citra dan Reputasi Menyerlah UniMAP).

 

Jadual Peratus Responden yang Mempersepsi

Domain Citra dan Reputasi Menyerlah UniMAP

 

Domain

Peratus1 respons yang menyerlah mengikut domain

Staf

n= 827

Pelajar

n= 440

Alumni

n= 134

Organisasi

n= 141

Bakal pelajar

n= 212

Daya Tarikan Emosi

71.7

37.3

59.7

39.7

21.7

Produk dan Akiviti

58.2

29.5

53.7

28.4

17.5

Visi dan dinamisme   kepimpinan

62.2

31.1

47.0

27.7

-

Persekitaraan Tempat Kerja  

46.2

16.8

37.3

-

-

Tanggungjawab Sosial

51.0

21.4

38.8

24.1

-

Nota.  Respons 6 & 7 pada skala item 7-mata digabungkan untuk mewakili respons positif dan diinterpretasikan sebagai persepsi menyerlah.

Perhatikan data berwarna merah yang semuanya di bawah 40 peratus. Maksudnya, bilangan pelajar (pelajar semasa), organisasi (organisasi sekitar Kangar, industri yang mengambil siswazah UniMAP sebagai pekerja), dan Jabatan Pengajian Tinggi, KPT yang mempersepsi citra dan reputasi menyerlah UniMAP (respons 6 [bersetuju] & 7 [sangat bersetuju] pada skala item 7-mata) pada semua domain adalah di bawah 40 peratus. Selain itu, bilangan alumni yang mempersepsi citra dan reputasi menyerlah UniMAP tentang domain persekitaran tempat kerja (37.3%) dan tanggungjawab sosial (38.8%). Bilangan bakal pelajar pula yang mempersepsi citra dan reputasi menyerlah UniMAP tentang domain daya tarikan emosi (21.7%) dan produk dan aktiviti (17.5%). Laporan penuh kajiselidik ini akan dibentangkan dalam masa yang terdekat.  

      Ada beberapa kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan data yang dibentangkan. Satu daripada kesimpulan awal yang dapat saya berikan ialah kita kurang mempromosikan universiti. Kita kurang menonjolkan kekuatan, kejayaan dan pencapaian cemerlang universiti dalam semua aspek, khususnya dalam aspek akademik dan penyelidikan kepada pihak berkepentingan dalaman dan luaran.  Meskipun Unit Media berjaya mengusahakan penyebaran berita positif yang melebihi 450 bilangannya saban tahun, namun itu tidak mencukupi. Setelah wujud media baharu dan media sosial dewasa ini, kita perlu mengambil kesempatan memanfaatkannya untuk berhubung dengan semua pihak berkepentingan, jika dapat, setiap hari. Manfaatkan laman sesawang UniMAP untuk meningkatkan citra dan reputasi UniMAP. Jika citra dan reputasi UniMAP jatuh, cacat atau tercalar pada persepsi pihak berkepentingan atau masyarakat, seronok dan bahagiakah saudara-saudara menjadi sebahagian daripada elemen yang membangunkannya?           

Untuk meningkatkan citra dan reputasi UniMAP pada masa akan datang, saya berharap selepas ini kita dapat menyangga usaha-usaha menyemarakkan aktiviti pemasaran dan penjenamaan universiti. Unit Komunikasi Korporat, Unit Media, dekan-dekan dan sesiapa sahaja yang dapat membantu untuk merangkakan suatu strategi menyeluruh aspek pemasaran jenama dan produk universiti kita BERTINDAK-lah. Pada kali ini saya mahu semua pusat pengajian memainkan peranan yang aktif dan tidak mengecewakan dalam usaha meningkatkan persepsi positif bakal pelajar, khususnya. Manfaatkan segala media lama dan baharu untuk menyebarkan apa jua prestasi, pencapaian dan kejayaan universiti, sama ada kecil atau besar; bersifat lokal, nasional atau internasional.

 

BERTINDAK-lah hingga hasilan kerja dan perkhidmatan menghasilkan IMPAK yang besar.           

Ada sebabnya saya memilih kata-kata ini sebagai tema UTNC kali ke-11. Saya menggesa seluruh warga UniMAP supaya bekerja dan berkhidmat dengan hati yang ikhlas. Saya mahu seluruh warga kerja UniMAP bekerja berorientasikan tindakan dan hasilan atau outcome sehingga menjadikan sifat suka BERTINDAK sebagai AMALAN, sementara BERIMPAK menjadi akhiran bagi setiap HASILAN tindakan. Apalah maknanya jika kita sebagai muslim mengucapkan kalimah syahadah dengan lidah dan ditasdiqkan dalam hati, tetapi falsafah dan pengertian kalimah itu tidak diterjemah dalam bentuk tindakan. Ertinya, hal tersebut tidak maknawi maknanya. Syahadah pada kita sewajarnya diterjemah dalam bentuk tingkah laku dan tindakan sama ada dalam bentuk ibadah khususiyyah atau umumiyyah; atau dalam kategori fardhu ‘ain atau fardhu kifayah.           

Begitu jugalah sebagai pekerja. Setelah kita berakad semasa bertekad menerima pekerjaan yang diminta dan diberikan, maka kita tiada pilihan lain selain daripada BERTINDAK melaksana tugas dan tanggungjawab dengan efisien dan efektif. Jika dalam konteks syahadah yang perlu diterjemah dalam bentuk tindakan yang berkualiti, sama ada semasa solat, berpuasa, berzakat atau sebagainya, untuk memenuhi tuntutan Allah sebagai pihak berkepentingan utama, maka begitu jugalah semasa melaksana tugas dan tanggungjawab. Tugas dan tanggungjawab mesti dilaksana dengan tertib, mengikut prosedur, tidak culas, tidak salah, menepati masa, cermat, bersih, dan sebagainya. Untuk apa? Jawabannya tiada lain selain daripada untuk memenuhi kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan. Di samping itu, jika kita mengharapkan pahala yang lebih banyak daripada Allah dengan melaksana amalan-amalan sunat, maka saya yakin Allah akan menggandakan pahala saudara-saudara jika melaksana kerja-kerja tambahan yang tidak terkandung dalam senarai tugas dan tanggungjawab hakiki.

            Warga UniMAP yang saya kasihi sekalian, jadikanlah sifat suka BERTINDAK sebagai amalan. Profesor BERTINDAK-lah selaras dengan status profesornya. Penolong pendaftar dan pentadbir BERTINDAK-lah sesuai dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Pekerja sokongan BERTINDAK-lah selaras dengan amanah yang diberikan kepada anda. BERTINDAK-lah dengan hati yang ikhlas. Laksanalah tugas dan tanggungjawab dengan berkualiti. Dan, tambahkanlah pahala dengan melaksana kerja-kerja tambahan untuk memungkinkan UniMAP berlari lebih pantas daripada universiti-universiti tersohor di peringkat dunia. Berubahlah saudara-saudara ke arah yang lebih baik supaya mendapat keredhaan Allah. 

Demi kepentingan dan masa depan universiti ini agenda BERTINDAK yang dilaksana oleh semua pihak mestilah BERIMPAK hasilan atau outcome-nya. HASILAN BERIMPAK yang saya maksudkan ialah hasil kerja atau output yang memberikan kesan besar, kuat, positif dan bermakna kepada penerima perkhidmatan atau pihak berkepentingan. Kesan besar dan kuat ini hendaklah dapat disedari dan dirasai di peringkat jabatan, misalnya proses dan hasil kerja yang berkualiti (cekap dan berkesan), sehingga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kita. Kerana hasil kerja yang cekap dan berkesanlah para pemandu Jabatan Pembangunan UniMAP sering dipuji oleh pelanggan dalaman dan luaran kerana menepati masa, berhemah dan mempunyai maklumat yang banyak dan tepat tentang universiti. 

Di peringkat institusi kesan besar dan kuat itu boleh berbentuk kertas penyelidikan yang diterbitkan di dalam jurnal berimpak tinggi. Boleh berbentuk kejayaan menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa yang dihadiri oleh beberapa banyak ahli akademik, profesional dan/atau pengurusan yang berwibawa, terkemuka dan tersohor di peringkat dunia. Boleh berbentuk pelahiran siswazah yang berkualiti sehingga berupaya memberikan manfaat besar kepada majikan atau perniagaan yang dikendali secara berdikari. Boleh berbentuk pemasaran jenama institusi sehingga berupaya menarik minat banyak calon mahasiswa memohon belajar di universiti ini, menarik minat banyak dermawan untuk menyumbangkan endowmen, atau menarik minat industri untuk mendapatkan khidmat nasihat kepakaran, atau menarik minat universiti tersohor dunia untuk bekerjasama dalam pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan atau pertukaran mahasiswa. Boleh berbentuk diiktiraf sebagai institusi yang berkualiti tinggi sama ada dalam penilaian yang berkaitan dengan akademik, penyelidikan atau pengurusan dan perkhidmatan. Contohnya, universiti kita diiktiraf sebagai universiti cemerlang dalam penilaian SETARA dan D-SETARA oleh MQA, dan penarafan lima bintang bagi laman sesawang oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC). 

Di peringkat masyarakat lokal dan negara, kesan besar dan kuat itu boleh dalam bentuk Polisi Awam yang dilaksana oleh kerajaan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat; dalam bentuk hasil kerja penyelidikan yang dimanfaatkan oleh masyarakat setempat atau industri; dalam bentuk pengkomersilan yang dimanfaatkan oleh pelbagai jenis industri di samping dapat menjana pendapatan dalam kuantum yang besar; dalam bentuk pemupukan minda, emosi, akhlak dan sahsiah generasi muda yang mempunyai ciri-ciri generasi rabbani; dalam bentuk melahirkan pemimpin besar atau pengikut setia yang berjasa besar membangunkan masyarakat di peringkat daerah, negeri, dan negara dalam pelbagai aspek kehidupan yang diredhai Allah.

Di peringkat dunia pula, kesan besar dan kuat itu boleh dalam apa jua bentuk hasil kerja dan aktiviti yang diiktiraf oleh badan dan masyarakat dunia. Misalnya, universiti kita tersenarai dalam kelompok antara universiti terbaik di dunia; atau kita berjaya melahirkan atau mempunyai Nobel Laureate dalam pelbagai disiplin ilmu; atau ahli akademik kita berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan, kebuluran, kesihatan atau alam sekitar yang dihadapi oleh masyarakat global. 

Dengan contoh-contoh yang diberikan saya pasti saudara-saudara berupaya menambahkan bilangan senarai contoh hasil kerja yang berimpak yang diiringi oleh nilai pencapaian yang tinggi juga. Perhatikan bahawa setiap contoh yang diberikan itu mengandung ciri-ciri positif dan maknawi sama ada kepada diri sebagai hamba Allah, jabatan, institusi, masyarakat, negara dan/atau dunia. Semua contoh yang diberikan sewajarnya menjadi idaman warga kerja UniMAP. Sesuatu kejayaan yang berimpak besar atau tinggi sudah pastinya tidak dapat diraih oleh institusi yang hanya segelintir kecil daripada warganya berkongsi dan menyangga idaman atau impian sepunya. Impak tinggi yang mahu diciptakan oleh sesebuah institusi atau organisasi memerlukan sinergi cita-cita, idea, dan tenaga daripada semua elemen yang membina institusi atau organisasi itu. 

Gesaan saya ini sekali lagi selaras dengan gesaan Yang Berhormat Menteri (YBM) Pengajian Tinggi dalam Amanat 2013. Dalam amanat itu YBM mengisytiharkan bahawa PSPTN akan dikaji semula dalam tahun ini. Tujuannya adalah untuk “...menambahbaik dan menyusun mengikut keperluan semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan,” kata YBM. Langkah yang sama akan kita ambil pada tahun ini. Kita akan menyemak semula pelan strategik UniMAP supaya relevan dengan perkembangan semasa. Keputusan semakan semula itu kelak diharapkan dapat menghasilkan pelan tindakan atau inisiatif-inisiatif yang dapat membuahkan hasilan yang berimpak tinggi dalam semua aspek yang membina universiti ini: akademik, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran, aktiviti keagamaan, sukan, dan kesenian. Saya menyeru agar semua ketua teras strategik, Majlis Profesor, ketua-ketua Projek Agenda Kritikal (CAP), dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan supaya mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk membuat perubahan dan transformasi yang diperlukan. 

Daripada saya, sukacita saya mencadangkan agar UniMAP merangkakan projek-projek yang saya namai Program Panji Kemegahan atau ringkasnya PanjiMega. Program PanjiMega ini merupakan projek merentas pusat pengajian dan jabatan. Maknanya setiap pelaksanaan program dan projek dianggotai, difikirkan, dihasilkan dan digerakkan oleh staf daripada pelbagai pusat pengajian dan jabatan. Inisiatif-inisiatif yang dilaksana di bawah panji-panji kemegahan ini dirangkakan untuk memberikan impak yang tinggi kepada citra dan reputasi universiti sama ada dalam aspek pengantarabangsaan, ekosistem kampus, penyelidikan, keunggulan akademik, penciptaan kekayaan, tadbir urus dan siswazah berbakat istimewa yang berasaskan teras strategik yang dirumuskan dalam pelan strategik 2011-2015. Di bawah kibaran setiap panji akan terdapat satu atau beberapa siri program atau projek yang diharapkan dapat mencetuskan beberapa hasilan atau outcome yang berimpak tinggi.  

Dalam retreat ketua-ketua jabatan yang lalu saya telah mengisytiharkan cadangan PanjiMega yang berikut:

 

Jadual Panji Kemegahan Mengikut Teras Strategik

Teras   Strategik

Panji Kemegahan

Keterlihatan Antarabangsa yang Menyerlah

We Serve the Globe

Ekosistem yang Kondusif

Green Campus@UniMAP

Penyelidikan Berimpak Tinggi

High Impact USR (University Social Responsibility)

Keunggulan Akademik

From Noble to Nobel

Penciptaan Kekayaan yang Ketara

Nurturing Entrepreneurial Minds

Tadbir Urus yang Gemilang

5 Star 15 Program

Siswazah Berbakat Istimewa

From Seeds to Shoots

 

 

 

 

 

 

 

PanjiMega Pengantarabangsaan: We Serve the Globe

PanjiMega ‘We Serve the Globe’ bertujuan meningkatkan citra dan reputasi UniMAP di peringkat antarabangsa. Di bawah PanjiMega ini agenda ‘Network for Network’ akan diperkasakan secara berterusan. Impak tinggi yang dijangkakan daripada PanjiMega ini ialah peningkatan bilangan penuntut antarabangsa cemerlang peringkat prasiswazah dan pascasiswazah yang ditaja, peningkatan dana penyelidikan antarabangsa, peningkatan program kerjasama antarabangsa dan penyenaraian UniMAP dalam senarai liga pemeringkatan universiti tersohor sama ada dalam QS World University Ranking atau Times Higher Education World University Ranking.

Bagi memastikan kelangsungan agenda ini beberapa inisiatif lama perlu dimantapkan dan inisiatif baru akan dilaksana. Antaranya adalah:

  • Memperkukuh hubungan dengan universiti-universiti Asia melalui Asia Summer Programme.
  • Menganggotai Asian University Presidents Forum (AUPF). Pada tahun ini UniMAP terpilih menjadi tuan rumah Persidangan ke-12 AUPF.
  • Mempermantap hubungan penyelidikan dengan institusi penyelidikan dan IPT antarabangsa seperti King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST) dan ARAMCO, Arab Saudi. Jaringan ini perlu ditambahkan dari semasa ke semasa.
  • Mengaktifkan task force World University Ranking dan task force penerbitan dalam jurnal ISI.

PanjiMega ini diselaraskan oleh Ketua CAP Pengantarabangsaan UniMAP.

 

PanjiMega Ekosistem: GreenCampus@UniMAP

Kampus Hijau ialah usaha suatu komuniti UniMAP yang bertujuan menambahbaik keberkesanan penggunaaan tenaga, memelihara sumber dan meningkatkan kualiti persekitaran yang lestari. Matlamat projek Ini dapat dicapai melalui pendidikan lestari dan pelaksanaan projek-projek yang telah dikenalpasti untuk membina kehidupan dan persekitaran kerja dan belajar yang sihat dan kondusif. Antara aspek-aspek yang ditangani oleh PanjiMega ini ialah bangunan, makanan, tanah dan air, manusia, pengangkutan, sampah, pembelian, tenaga, dan cuaca yang melibatkan komuniti UniMAP dan masyarakat setempat. Antara projek yang akan dilaksana di bawah program ini adalah:

  • Projek 10,000 pohon.
  • Projek Smart Mobility Assistive Recreation Teamworking (SMART).
  • Projek Electric Motorbike Scheme (E-MoS).
  • Projek Hadanah (nursery) Montessori.

Penyelaras PanjiMega ini ialah Penolong Naib Canselor (Komunikasi Korporat) dan Pengarah Unit Pembangunan Lestari.

 

PanjiMega Penyelidikan: High Impact USR (University Social Responsibility)

PanjiMega Penyelidikan bukan sahaja bertujuan menghasilkan kertas-kertas penyelidikan yang berimpak tinggi yang dapat meningkatkan penarafan UniMAP dalam MyRA, tetapi di bawah panji ini juga para akademik sewajarnya didorong dan usaha mereka diperkukuh untuk menghasilkan kajian yang dapat dikomersilkan dan/atau dimanfaatkan oleh masyarakat. Agenda ini penting kerana kaitan rapatnya dengan penjanaan dan penciptaan kekayaan. Yang lebih utama ialah sumbangan kepakaran UniMAP untuk melaksana tanggungjawab sosialnya menyebarkan ilmu baru, meningkatkan pendapatan masyarakat, dan mendidik masyarakat ke arah penciptaan budaya tinggi berasaskan nilai dan akhlak murni. Antara inisiatif program dan projek yang diletakkan di bawah naungan PanjiMega ini adalah:

  • Pewujudan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (PTKU) untuk menggerakkan sumber intelektual dan memanfaatkan infrastruktur fizikal universiti dengan tujuan mentrasformasikan minda komuniti seperti yang diarahi oleh YB Menteri Pengajian Tinggi.
  • Penubuhan Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (P-KIR) yang bertujuan menyebarkan ilmu pengetahuan tentang Institusi Raja sebagai suatu institusi istimewa negara demi mengangkat martabat Institusi Raja dalam konteks pendaulatan konsep Raja Berpelembagaan di Malaysia.
  • Pengukuhan Program Jalinan IPTA-SKK (Sekolah Kluster Cemerlang) dan mengekalkan status kecemerlangan semasa.
  • Pemantapan Program Perlis Maju 2015.

Penyelaras PanjiMega ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Pengarah Unit Kajian Strategik.

 

PanjiMega Akademik: From Noble to Nobel

PanjiMega Akademik memberikan penekanan pada inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan tahap penjiwaan, penghayatan dan iltizam para pensyarah terhadap profesion akademik dan keguruan yang suci dan mulia. Selain itu, di bawah panji ini akan dikembangkan juga program jangka panjang pelahiran Nobel Laureate dari Malaysia melalui program-program berstruktur yang perlu dilalui oleh pensyarah muda terpilih yang berpotensi besar dan mempunyai sikap mulia yang serasi dengan dunia akademik dan penyelidikan. Antara inisiatif program dan projek yang diletakkan di bawah naungan PanjiMega ini adalah:

  • Program pemantapan kompetensi pensyarah dan kepemimpinan akademik ke arah peningkatan penjiwaan dan penghayatan profesion akademik.
  • Penubuhan Institute of Advanced Studies (InsAS) untuk melaksana penyelidikan fundamental dan penerokaan intelektual dalam disiplin ilmu yang merentas sempadan, khususnya dalam bidang sains termasuk sains sosial dan sains kemanusiaan.
  • Menstrukturkan projek pascadoktoral dalam usaha menyangga Program Nobel Laureate Malaysia.

PanjiMega ini diselaraskan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Majlis Profesor UniMAP.

 

PanjiMega Penciptaan Kekayaan: Nurturing Entrepreneurial Minds

PanjiMega Penciptaan Kekayaan yang bertemakan ‘Nurturing Entrepreneurial Minds’ berhasrat membina dan memupuk minda kreatif, inovatif dan prinsip-prinsip keusahawanan dalam kalangan staf di semua peringkat supaya berfikir dan bertindak sebagai intrapreneur atau sociopreneur. Program-program yang dianjurkan diharapkan dapat menjadikan staf, khususnya staf pentadbiran dan sokongan menciptakan inovasi pentadbiran dan sosial dalam pelbagai bentuk. Dijangkakan program ini dapat menyangga agenda perbelanjaan berhemat dan penjanaan pendapatan universiti sekali gus. Sementara itu, para akademik pula apabila sudah menguasai prinsip-prinsip keusahawanan diharapkan dapat menerapkan dan mengembangkan prinsip-prinsip itu kepada para mahasiswa sehingga mahasiswa berupaya menjadi usahawan selepas bergraduat. Antara program dan inisiatif di bawah PanjiMega ini adalah:

  • Penerusan dan pemantapan pelaksanaan Program Kuliah Keusahawanan untuk para pensyarah.
  • Pengukuhan aktiviti Kualiti Sekitaran Kerja (5S) dan Kumpulan Kreatif dan Inovatif.
  • Pemerkasaan aktiviti UniMAP Holdings Sdn. Bhd., Koperasi UniMAP, Technopreneurship@unimap Sdn. Bhd. dan Kukum Engineering (Malaysia) Sdn. Bhd..
  • Pemerbadanan Yayasan UniMAP Sdn. Bhd..

PanjiMega ini diselaraskan oleh Bendahari, Pengarah Pusat Keusahawanan, Pengkomersilan dan Harta Intelek (ECIP), Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti).

 

PanjiMega Urus Tadbir: 5 Star 15 Programme

PanjiMega Urus Tadbir mengutamakan pencapaian tinggi universiti dalam semua aspek yang dinilai oleh pihak berkepentingan, sama ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), SIRIM atau badan-badan akreditasi atau persijilan peringkat lokal dan/atau antarabangsa. Dihasrati agar pencapaian universiti sentiasa dipertahan di tahap tinggi supaya citra dan reputasi UniMAP sentiasa menyerlah pada persepsi pihak berkepentingan dalaman atau luaran. Antara inisiatif yang perlu dilaksana di bawah PanjiMega ini adalah:

  • Mempersiapkan UniMAP untuk menghadapi audit Codes of University’s Good Governance (CUGG) dalam tahun ini sehingga UniMAP diberi autonomi.
  • Meningkatkan pencapaian SETARA ke tahap Tier 6 atau universiti terbilang.
  • Meningkatkan pencapaian D-SETARA ke tahap Tier 6 atau universiti yang mempunyai disiplin kejuruteraan terbilang.
  • Mengekalkan Sijil ISO 9001:2011 dalam proses persijilan semula tahun ini.
  • Mendapatkan akreditasi sekurang-kurangnya 3 tahun bagi semua program kejuruteraan.
  • Mengekalkan Sijil Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) MS1722:2011 & OHSAS 18001:2007 di Bilik Bersih, PPK Mikroelektronik dan Sijil Akreditasi SAMM 17025 di PPK Alam Sekitar dan PPK Bahan yang baru diperoleh tahun lalu. Pada tahun ini PPK Pembuatan dan PPK Mekatronik pula perlu mendapatkan Sijil Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) MS1722:2011 & OHSAS 18001:2007.
  • Meningkatkan pencapaian MyRA ke tahap Tier 5.
  • Mengekalkan kecemerlangan universiti sebagai universiti bercirikan keusahawanan dengan memenangi Anugerah Keusahawanan Malaysia (MEA) anjuran KPT.

Penyelaras PanjiMega ini ialah Pendaftar, Dekan Pengurusan Akademik, Dekan Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pengarah Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pengarah Pusat Keusahawanan, Pengkomersilan dan Harta Intelek (ECIP) dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti).

 

PanjiMega Siswazah Berbakat Istimewa: From Seeds to Shoots

PanjiMega Siswazah Berbakat Istimewa merupakan panji yang amat penting kepada kita semua. Di bawah inisiatif panji ini diharapkan dapat melahirkan ‘Modal Insan Kamil’ seperti yang terkandung dalam misi universiti. Meskipun ‘Modal Insan Kamil’ sukar dicapai, namun dalam beberapa aspek konsep itu yang dapat diukur, maka inisiatif-inisiatif berimpak perlu dilaksana secara berterusan untuk dicapai. Konsep ‘From Seeds to Shoots’ menyamai maksud melentur buluh dari rebung. Antara inisiatif yang perlu dilaksana di bawah PanjiMega ini adalah:

  • Memperkukuh dan memperkasakan kualiti dan nilai ditambah mahasiswa melalui pelbagai program supaya mudah diterima oleh pasaran kerja.
  • Memperkukuh dan memperkasakan kualiti mahasiswa melalui pelbagai aktiviti akademik supaya berupaya menjadi pendidik institusi pengajian tinggi yang tersohor dan ulung.
  • Memperkukuh dan memperkasakan kualiti mahasiswa melalui pelbagai aktiviti penyelidikan supaya berupaya menjadi penyelidik tersohor peringkat global.
  • Memperkukuh dan memperkasakan kualiti mahasiswa melalui pelbagai aktiviti keusahawanan supaya berupaya menjadi usahawan yang tinggi keupayaan kreativiti dan inovasi mereka serta tidak bergantung pada pasaran kerja untuk mencari punca pendapatan.
  • Memperkukuh dan memperkasakan kualiti pelajar sekolah dan matrikulasi melalui pelbagai aktiviti akademik dan penyelidikan supaya bakat akademik dan penyelidikan mereka dapat diasah dari awal untuk menjadi ahli akademik dan penyelidik tersohor peringkat global pada masa akan datang.

 

Penyelaras PanjiMega ini ialah Penolong Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Pengarah Pusat Keusahawanan, Pengkomersilan dan Harta Intelek (ECIP), Dekan pusat-pusat pengajian dan Pengarah Kelab Penyelidik Muda Envex (EYReC).

Demikianlah pandangan ringkas saya tentang inisiatif-inisiatif yang perlu dilaksana di bawah Program Panji Kemegahan (PanjiMega). Besarlah harapan saya agar semua penyelaras yang dinamai BERTINDAK membentukkan jawatankuasa atau task force merentas jabatan untuk merangkakan pelan tindakan atau inisiatif-inisiatif yang berimpak. Marilah kita bersama-sama berdoa agar inisiatif-inisiatif itu, setelah diusahakan secara bijaksana, bersungguh-sungguh dan berterusan, dapat meninggalkan impak yang tinggi pada citra dan reputasi universiti ini di peringkat lokal dan antarabangsa. Saya amat berharap agar sesiapa sahaja dalam kalangan warga UniMAP dapat menyambut usaha ini dengan hati yang terbuka dan ikhlas untuk melaksana apa jua yang dirancangkan.

 

UniMAP: 2012 yang Berlalu; 2013 yang Ditunggu

 

Saudara-saudara yang dihormati sekalian.

Sebelum saya melangkah meninggalkan rostrum ini izini saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara-saudara, seluruh warga UniMAP, sama ada yang menghadiri atau yang tidak menghadiri majlis ini. Pada tahun lalu kebanyakan daripada saudara telah menunjukkan bukti bahawa saudara-saudara merupakan warga kerja UniMAP yang setia dan menunjukkan komitmen yang tinggi semasa melaksana tugas dan tanggungjawab. Tanpa kerjasama kebanyakan saudara-saudara tidak mungkin UniMAP dapat mencapai tahap hari ini: diiktiraf sebagai institusi pengajian tinggi Tier 5 mengikut penilaian SETARA ’11 dan D-SETARA; laman sesawang kita diberi taraf lima bintang; dan meraih Anugerah Keusahawanan Malaysia bagi kategori Persekitaran Kondusif Keusahawanan. Tahniah, tahniah dan terima kasih sekali lagi saya ucapkan.

Terlalu banyak kejayaan dan pencapaian besar yang kita raih bersama pada tahun lalu. Dalam bidang penyelidikan sahaja kita menerima 57 anugerah penyelidikan dalam pelbagai ekspo dan pertandingan penyelidikan peringkat tempatan di samping 81 pingat menerusi pelbagai ekspo dan pertandingan penyelidikan di peringkat antarabangsa. Begitu jugalah pencapaian cemerlang para mahasiswa kita sama ada dalam bidang penyelidikan, sukan atau kesenian; di peringkat nasional atau antarabangsa. Jika saya hendak menyebut nama setiap seorang nescaya lewatlah kita makan tengah hari ini. Namun demikian, saya merakamkan ucapan tahniah kepada mahasiswa kita dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses, Ainatul Alia Alias kerana berjaya menjadi Ikon Varsiti BH 2012 bagi kategori Teknologi: Agro dan Inovasi yang disampaikan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Selain itu, izini saya mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr. Uda Hashim kerana dianugerahi Hadiah Laureate Sains dan Teknologi daripada The Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) 2012 sempena Sixth Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Science Research di Sudan tahun lalu. Selain itu ucapan tahniah saya kalungkan kepada Saudara Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah yang menerima anugerah King Sejong Inventor Order of Merit; Saudara Mohd. Arif Anuar Salleh yang menerima anugerah Nobel Inventor Order of Merit; Prof. Madya Dr. Zainab Hamzah yang menerima anugerah Nobel Inventor Order of Merit dan anugerah Agricultural Invention Order of Merit; Saudara Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur yang menerima anugerah Energy Invention Order of Merit; dan Prof. Ryspek Usubamatov yang menerima anugerah National Prestige Enhancing Invention Order of Merit. Kesemua mereka menerima anugerah dalam majlis World Inventor Award Festival (WIAF) 2012, di Korea Selatan yang dianjurkan oleh Korea Invention News (KINEWS) dengan kerjasama International Intellectual Property Network Forum (IPPNF). Sesungguhnya rakan-rakan kita ini berjaya meningkatkan tahap keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa.

Pada tahun-tahun akan datang saya berharap akan ada pula warga kerja UniMAP yang lain yang memenangi pelbagai anugerah berprestij tinggi peringkat nasional atau antarabangsa. Moga-moga ada yang mengganti saya sebagai penerima anugerah World Inventor Grand Order of Merit dalam majlis yang sama pada tahun-tahun akan datang. Syukur alhamdulillah. Besar nikmat yang Kau anugerahkan kepada kami semua.

Sebaliknya, jika saudara-saudara tidak memenangi apa-apa anugerah, usahlah gundah-gulana. Berusahalah lagi tahun ini. Tidak memenangi anugerah bukannya suatu kesalahan. Yang menjadi kecacatan ialah jika tidak setia, ikhlas dan komited dengan tanggungjawab atau universiti. Jika ada dalam kalangan kita yang tergolong dalam kelompok warga kerja yang tidak setia, ikhlas dan komited, saya tidak berhajat menghukum saudara-saudara. Cukuplah Allah sahaja yang mengadili hasil usaha saudara-saudara untuk membangunkan universiti ini. Renungilah firman Allah yang saya bacakan pada awal ucapan ini tadi. Antaranya berbunyi: “Siapakah yang berupaya memberikan syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan apa saja yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.” (Al-Baqarah: Ayat 255).

Namun, dunia belum kiamat. Masih banyak lagi agenda yang perlu dilaksana dan sasaran yang perlu dicapai. Dalam bulan Mac ini kampus Pauh Putra akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak. Untuk memastikan majlis itu menjadi gilang-gemilang saya tuntut agar semua staf memberikan komitmen yang paling tinggi yang pernah dikongsikan. Selain itu kita akan menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan dan forum antarabangsa. Lantaran itu bangunlah saudara-saudara. Jadikanlah BERTINDAK sebagai AMALAN sehingga terhasil HASILAN yang BERIMPAK.

Sebelum bersurai terimalah sasaran yang perlu kita capai sebagai bekalan pulang untuk diterjemah menjadi tindakan:

  • Bilangan kumulatif 5,000 dokumen dalam jurnal berwasit Scopus pada tahun 2015.
  • Setiap pensyarah menghasilkan dua (2) penulisan dalam jurnal berimpak atau dua (2) prosiding dalam jurnal berwasit dan berimpak setiap tahun.
  • Menghasilkan 40 paten secara kumulatif dalam tahun 2015.
  • Secara kumulatif 30 orang profesor atau ahli akademik menyumbangkan kepakaran di peringkat antarabangsa dalam tahun 2015.
  • Nilai geran mencapai RM60 juta pada tahun 2015.
  • UniMAP Holdings menjana pendapatan sebanyak RM50 juta pada tahun 2015.
  • 40 orang jurutera profesional (PE) dalam tahun 2015.
  • 150 judul buku diterbitkan khususnya oleh staf UniMAP sehingga tahun 2015.
  • Bilangan pelajar sebanyak 16,000 orang dalam tahun 2015 dan 10% daripada jumlah itu ialah penuntut pascasiswazah.
  • 85% pelajar yang bergraduat mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian, dan 10% daripada mereka menjadi usahawan setiap tahun hingga 2015.

Sasaran-sasaran ini hanya sebahagian dan bukan baru bagi ketua-ketua jabatan. Saya sekadar merakamkannya di sini sebagai peringatan supaya TINDAKAN diambil bersesuaian dengan kepentingan setiap satunya untuk meningkat citra dan reputasi Universiti Perlis. Selamat BERTINDAK supaya BERIMPAK.

Sekali lagi, sebelum pulang, terimalah beberapa kacip pesan Tenas Effendy yang mengingatkan kita jika mahu menjadi pemimpin, jadilah pemimpin yang:

Sepadan amal dengan iman

Sepadan ilmu dengan kelakuan

Sepadan lidah dengan perbuatan

Sepadan takah dengan pakaian

Sepadan tokoh dengan bawaan.

Sepadan janji dengan isi

Sepadan kerja dengan upah

Sepadan harga dengan faedah

Sepadan tua dengan kerenah

Sepadan muda dengan takah.

Di dalam majlis bermuka manis

Di dalam helat duduk bersifat

Di dalam rumah beramah-tamah

Di dalam dusun tuntun-menuntun

Di dalam kampung tolong-menolong

Di dalam negeri beri-memberi

Di dalam kota rasa-merasa.

 

Akhir kalam, seandainya selama saya memimpin universiti ini terdapat apa jua kesilapan dan kesalahan saya memohon maaf dari dasar lubuk jiwa saya. Sesungguhnya segala kesilapan dan kesalahan berpunca daripada diri saya sebagai insan biasa. Hakikatnya, apa jua idea yang saya lontarkan; keputusan yang saya laksana; dan tindakan yang saya aturkan, hanyalah untuk melaksana amanah yang diserahkan kepada saya dan anggota pengurusan tertinggi demi memastikan Universiti Malaysia Perlis berdaya saing di persada antarabangsa menjelang 2020.

Semoga Allah (s.w.t) mengampuni kita semua.

Terima kasih.


Wabillahi taufiq wal hidayah

ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮﻡﻜﻴﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍﻮ

Go to top